Kerajaan Terengganu pandang serius banjir termenung 

Kerajaan Terengganu pandang serius banjir termenung 

KERATAN laporan Utusan Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Kerajaan negeri memandang serius masalah banjir termenung yang membelenggu kira-kira 50 penduduk Kampung Rawai di sini,  sehingga menyukarkan mereka menjalankan rutin harian setiap kali banjir berlaku.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Ariffin Deraman berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk meminimumkan kesan banjir di kawasan itu sebelum bermulanya musim tengkujuh di Terengganu.

Katanya, sebelum ini pejabat ADUN Alor Limbat bekerjasama dengan pengurusan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) untuk membuka laluan air di sepanjang kawasan projek tersebut berjalan.

“Pemasangan sistem pembetung atau culvert juga dilakukan di tempat air tersekat supaya pengalirannya lebih lancar.

“Bagaimanapun, kita mengakui itu hanyalah penyelesaian jangka masa pendek yang tidak dapat mengatasi masalah ini sepenuhnya sepertimana diharapkan penduduk,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, penduduk di 11 rumah di Kampung Rawai menyifatkan banjir kali ini paling buruk kerana terpaksa berdepan dengan situasi banjir termenung hampir sebulan.

Lazimnya, jika banjir, air di kawasan itu naik sehingga ke paras betis di dalam rumah dan paras pinggang di halaman rumah, namun kembali surut dalam dua atau tiga hari.

Situasi kali ini bagaimanapun berbeza kerana keadaan air tidak banyak berubah yang mengganggu pergerakan mereka sejak Terengganu dilanda banjir gelombang pertama pada 20 November lepas.

Mengulas lanjut, Ariffin berkata, beliau bersama Penolong Jurutera Pejabat Daerah Marang dan kakitangan Jabatan Kerja Raya telah turun padang untuk mengenal pasti punca air termenung di kawasan itu.

“ECRL telah membuka laluan air untuk tempoh sementara di kawasan kerja yang terlibat. Pejabat ADUN Alor Limbat pula memasang culvert sepanjang 50 kaki untuk membuat sambungan longkang utama tepi jalan Kampung Rawai-Alur Limbat berhadapan Masjid Rawai.

“Dalam masa terdekat juga, wakil Pejabat Tanah, Pejabat Daerah, JKR Majlis Daerah Marang dan Jabatan Pengairan dan Saliran akan turun meninjau proses pembinaan longkang,” katanya.

Menurut beliau, senario hujan yang sangat lebat berlaku dalam tempoh singkat menjadi faktor utama  menyebabkan air termenung selain kesan pembangunan di sekitar Kampung Rawai.

“Lokasi perumahan tersebut berada di kawasan terendah berbanding kawasan lain, malah kawasan sekeliling yang telah ditambak menambah lagi kesan buruk banjir termenung itu,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya