Kerajaan negeri Perlis cadang jadikan Mei bulan berbasikal - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri Perlis cadang jadikan Mei bulan berbasikal

WAN Zikri Afhtar Ishak (belakang, empat dari kiri) merakamkan gambar bersama pasukan berbasikal Perlis dalam saingan Junior Cycling Malaysia Series 4 2023 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis hari ini.- UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri bercadang menjadikan Mei sebagai bulan berbasikal di Perlis dengan pelbagai pengisian program akan diatur pada setiap minggu buat anak muda dan peminat sukan berkenaan.

Pelaksanaan program sepanjang bulan tersebut juga akan melibatkan kerjasama dengan persatuan sukan, komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan negeri, Wan Zikri Afhtar Ishak berkata, langkah tersebut adalah bagi menarik peminat sukan berbasikal ke negeri ini dalam menaikkan sektor pelancongan sukan khususnya sempena sambutan Tahun Melawat Perlis 2024/2025 (TMPs).

“Kerajaan negeri bercadang untuk jadikan bulan Mei ini sebagai bulan berbasikal di Perlis memandangkan ia berpotensi untuk menarik kehadiran masyarakat luar sekali gus menaikkan sektor pelancongan sukan di negeri ini.

“Dan mungkin kita akan aturkan pelbagai program berbasikal pada setiap minggu sepanjang bulan Mei sebagai pengisian bagi sambutan bulan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas Program Junior Cycling Malaysia Series 4 2023 Perlis di Stadium Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Zikri berkata, sukan berbasikal di Perlis sememangnya amat berpotensi untuk dikembangkan malah ia turut mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Selain itu, beliau berkata, beberapa laluan di negeri juga dilihat amat bersesuaian bagi penganjuran program berbasikal itu antaranya seperti sekitar kawasan Pekan Lama Kangar dan sekitar bandar ini.

“Dengan langkah ini, ia juga dapat membantu mempromosikan dan menghidupkan semula kawasan berkenaan dengan penganjuran program kayuhan berbasikal,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Zikri berkata, konsep bagi pelaksanaan bulan berbasikal itu juga dapat mempersiapkan atlet-atlet negeri ini dalam menghadapi cabaran Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak pada Ogos tahun hadapan.

Katanya, pelaksanaan bulan berbasikal itu juga dapat membuka peluang buat peniaga dan usahawan tempatan meraih pendapatan tambahan menerusi penganjuran program sedemikian.

“Kita boleh melaksanakan perniagaan seperti food truck dan sebagainya bagi memudahkan pengunjung sekali gus membantu peniaga tempatan menambah pendapatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya