Kerajaan negeri diminta beri penjelasan isu beli kereta baharu - Utusan Malaysia

Kerajaan negeri diminta beri penjelasan isu beli kereta baharu

SEBAHAGIAN daripada SUV baharu yang didakwa dibeli kerajaan negeri dipercayai untuk kegunaan rasmi Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri di Terengganu. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri diminta memberi penjelasan mengenai isu yang tular di media sosial mengenai dakwaan pembelian kereta baharu dipercayai untuk kegunaan rasmi Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri di Terengganu.

Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Bahagian Kemaman, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar berkata, penjelasan itu penting untuk rakyat mengetahui sama ada dakwaan pembelian itu betul-betul satu keperluan mendesak ketika ini.

Menurutnya, pembelian kereta-kereta baharu itu bukan menyalahi mana-mana peraturan, namun ia dilihat janggal dalam keadaan ‘kantung negeri’ yang agak kritikal pada masa sekarang.

Katanya, tiada sebarang masalah dari segi tatacara dan peraturan sekiranya pembelian itu ada diperuntukkan dalam Bajet 2023 atau dibeli melalui dana anak-anak syarikat kerajaan negeri yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah.

“Cuma yang menjadi isunya, adakah ia satu keperluan mendesak apatah lagi pembayaran dana khas hasil petroleum petroleum yang disalurkan daripada kerajaan Pusat agak terhad jumlahnya.

“Bagaimana dengan bayaran-bayaran lain yang perlu dilunaskan oleh kerajaan negeri seperti di dalam Bajet 2023?. Yang mana satu lebih utama, rakyat atau Exco?,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini, tular di media sosial gambar beberapa unit kereta kenderaan utiliti sukan (SUV) jenama Mazda yang didakwa bakal digunakan oleh Exco negeri Terengganu.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Hakim yang juga bekas Ketua Penerangan UMNO Terengganu berkata, kerajaan negeri juga boleh membuat penafian sekiranya kenderaan baharu itu bukan dibeli kerajaan seperti yang didakwa di media sosial.

Dalam pada itu, tambahnya, beliau juga mempersoalkan sama ada masih terdapat kontraktor-kontraktor atau pembekal yang masih belum menerima bayaran mereka.

“Adakah benar cukai pintu kediaman akan mula dikutip disebabkan tekanan hasil pendapatan kerajaan yang makin berkurangan?.

“Adakah benar pelbagai cas berkaitan tanah juga akan dinaikkan untuk membantu meningkatkan pendapatan negeri yang makin menurun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya