PETALING JAYA: Kerajaan mengumumkan diskaun sebanyak 25 peratus bagi semua pengunjung yang menggunakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) untuk menghadiri program Setahun Bersama Kerajaan Madani.
Perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPO) melalui satu hantaran di laman Facebook.
“Diskaun sebanyak 25 peratus tambang pergi dan balik dari Stesen LRT Bukit Jalil sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada 8 hingga 10 Disember ini di Pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil. Jumpa anda di sana!,” katanya.
Pencapaian setahun kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipromosikan kepada rakyat melalui penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan Madani pada 8 hingga 10 Disember ini.
Menerusi kenyataan Sekretariat program, ia bertujuan menyebar luas dan mempromosikan dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat, meningkatkan kesedaran umum dan kefahaman terhadap hala tuju dan matlamat kerajaan.
Katanya, program anjuran Pejabat Perdana Menteri (PMO) melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu turut bermatlamat membina kepercayaan serta keyakinan antara kerajaan dengan rakyat melalui kaedah pelaporan pencapaian secara berkala. – UTUSAN