KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia terus menjejak aliran wang mencecah jutaan ringgit di seluruh dunia yang berkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya sudah mengenal pasti negara-negara terlibat dalam transaksi wang berkenaan, namun kesemua proses itu harus menggunakan pendekatan undang-undang.
Katanya, misi pencarian wang tersebut berada di Fasa 2 manakala Fasa 1 adalah asas penyelesaian iaitu perjanjian tuntutan yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dengan Goldman Sachs pada 2020.
Beliau berkata, ketika ini terdapat isu belum diselesaikan bagi mendapatkan semula aset negara yang berkait dengan skandal kewangan berkenaan.
“Pada masa ini, kita sudah sampai satu peringkat pemulihan besar (major recovery) yang kita sudah dapat daripada Goldman. Cuma ada beberapa pertikaian dengan Goldman ini dari segi janji yang mereka mahu bayar 1.4 bilion US yang mereka masih tidak selesaikan.
“Oleh kerana tidak dibayar meskipun kita sudah beri empat kali lanjutan, namun mereka tidak buat bayaran. Jadi kita terpaksa berdepan dengan arbitrasi. Ini akan menyebabkan kita pergi kes perbicaraan dan lihat apa keputusannya.
“Sementara itu, kita akan mencari duit-duit yang masih ada di seluruh dunia yang kita sudah kenal pasti. Kita memang kena melalui proses mahkamah untuk pulih (recover) wang kira-kira 70 juta di sana, 80 juta di sana…120 juta…130 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian di akhir sesi bual bicara Naratif Khas bertajuk Mengoptimum Hasil Agrikomoditi Negara yang disiarkan stesen televisyen kerajaan, malam ini.
Sesi bual bicara itu dihoskan personaliti televisyen, Sayed Munawar Sayed Mustar yang bersiaran selama satu jam.
Johari menjawab soalan berasingan daripada Sayed Munawar bertanya mengenai perkembangan terkini isu 1MDB dan perjanjian tuntutan antara Kerajaan Malaysia dengan Goldman Sachs.
Baru-baru ini, Kumpulan Goldman Sachs menyaman Kerajaan Malaysia di mahkamah United Kingdom (UK) berhubung perjanjian penyelesaian mengenai peranan bank itu dalam skandal rasuah 1MDB yang membabitkan berbilion dolar.
Pada 13 Disember lalu, Johari mengesahkan masih meneruskan tugasnya sebagai Pengerusi Pasukan Petugas 1MDB biarpun sudah dilantik sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi, 12 Disember lalu.
Johari berkata, beliau masih perlu menerajui pasukan petugas khas itu kerana ada isu belum diselesaikan terutama bagi mendapatkan semula aset negara yang terkait dengan skandal kewangan itu.
Sementara itu, ditanya jumlah keseluruhan wang tersebut secara kasar, Johari bagaimanapun tidak memberitahu anggarannya.
“Secara kasarnya ia bergantung…kalau kita ambil tindakan kepada bank-bank di luar negara yang memudahkan transaksi itu dan tidak menggunakan (proses verifikasi) KYC (Know Your Client) yang betul.
“Jadi mungkin kita juga boleh memulakan tindakan undang-undang terhadap mereka kerana tidak menjalankan KYC yang sesuai menyebabkan banyak duit ini terlepas kepada akaun-akaun yang tidak sepatutnya terlepas,” katanya. – UTUSAN