PETALING JAYA: Kenyataan yang dianggap bernada sindiran Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya ‘tahan reman’ semua orang yang memiliki pangkat Tun jika mereka enggan mendedahkan hasil kekayaan, menunjukkan kesombongan sikap beliau, kata Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin.
Katanya, ini kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat rakan baiknya, Tun Daim Zainuddin atas kes pengubahan wang haram.
“Semua orang, termasuk mereka memiliki pangkat Tun, tidak berada di atas undang-undang.
“Umum mengetahui mengapa Tun Dr. Mahathir membuat kenyataan sebegini, kerana dia sememangnya tidak senang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1998 lagi.
“Ini kerana keengganan Datuk Seri Anwar yang ketika itu menjadi Menteri Kewangan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat milik anak-anak Dr. Mahathir ketika krisis ekonomi Asia 1997-19998, yang mengakibatkan pemecatan Datuk Seri Anwar dan mencetuskan krisis politik sehingga ke hari ini,” katanya dalam hantaran dalam laman sosial, malam tadi.
Media sebelum ini melaporkan, Dr. Mahathir bersetuju mereka yang berpangkat ‘Tun’ juga perlu disiasat sekiranya gagal menjelaskan sumber kekayaan mereka.
Jelas beliau, mereka juga perlu ditahan reman sehingga mereka mendedahkan punca kekayaan mereka dan jika tidak, ia bermaksud mereka menyembunyikan sesuatu.
Mengulas lanjut, Shamsul Iskandar berkata, sekiranya Mahathir mahu semua individu berpangkat Tun disiasat, maka siasatan ke atas beliau dan anak-anak boleh dimulakan terlebih dahulu.
Menurutnya, ini kerana semua tahu kekayaan anak-anak beliau dan sewajarnya SPRM memulakan siasatan dari mana datangnya kekayaan itu.
“Kita juga perlu menyiasat semula kes-kes penyelewengan dana dan kerugian Perwaja Steel, projek hidroelektrik Bakun, MISC, PKFZ, Maminco dan kes-kes melibatkan anak-anaknya seperti Kenchana Petroleum, dan kekayaan anak-anak dan cucu-cucunya.
“Tiada siapa yang boleh mengatasi undang-undang, maka siasatlah harta-harta orang yang berpangkat Tun, bermula dari Tun Dr Mahathir Mohamad dan keluarganya.
“Tun, cakap siang pandang – pandang. Cakap malam, dengar – dengar. Saya yakin Tun berani disiasat,” katanya. – UTUSAN