KUALA NERUS: Kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang menyentuh kemungkinan bukan Melayu dilantik sebagai Perdana Menteri dibimbangi menggugat keharmonian dalam negara.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Kit Siang tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan sedemikian sehingga menyebabkan isu tersebut disiasat polis.
Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata, siasatan polis terhadap bekas Setiausaha Agung DAP itu adalah wajar bagi memelihara keamanan dalam kalangan rakyat.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memanggil beliau (Kit Siang) untuk disoal siasat, jadi serahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil langkah agar keharmonian yang dimiliki tidak dicabar.
“Sebarang suara yang boleh mengganggu dan menggugat keharmonian, kalau boleh kita tidak mahu dengar,” katanya ketika ditemui pada Program ‘Exclusive Meet & Greet With World Championship FIM Mini GP 2023’ di Litar Permotoran Terengganu, di sini, petang tadi.
Pada program itu Ahmad Samsuri mengambil kesempatan beramah mesra dengan pelumba cilik negara, Qabil Irfan Azlan dinobatkan selaku juara dunia pada Kejohanan Motosikal Siri Dunia FIM MiniGP bagi kelas 160cc di Litar Ricardo Tormo, Valencia pada 23 November lalu,
Akhbar sebelum ini melaporkan Kit Siang disiasat berhubung kandungan penulisan yang dimuat naik menerusi blognya, 30 November lalu, menyentuh isu Perlembagaan berkaitan pelantikan Perdana Menteri Malaysia.
Kit Siang yang juga bekas Ahli Parlimen Gelang Patah turut dikatakan membuat ucapan sama ketika berucap di hadapan pelajar Malaysia di Manchester, United Kingdom pada 29 November lalu.
Hari ini pula dilaporkan Kit Siang disahkan telah selesai memberi keterangan kepada pihak polis di Balai Polis Sea Park, Petaling Jaya selama hampir dua jam berhubung kenyataannya itu.
Sementara itu, ketika ditanya pendapat beliau berhubung rombakan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam, Ahmad Samsuri sekadar memberi ucapan tahniah.
“Tiada komen khusus, saya cuma ucapkan tahniah dan selamat berjaya kepada ahli jemaah menteri baharu yang dilantik dan menteri-menteri yang dikekalkan,” jelas beliau. – UTUSAN