PETALING JAYA: Platform X tidak semena-mena sohor kini dengan tanda pagar #GV10SITINORDIANA menjelang malam akhir All Stars Gegar Vaganza (ASGV), di Axiata Arena Bukit Jalil, esok.
Menerusi tinjauan dalam media sosial itu, sehingga artikel ini ditulis, lebih 9,440 ciapan membanjiri ruangan tersebut, sekali gus menewaskan ciapan berkaitan isu semasa politik dan serangan Israel di Semenanjung Gaza.
Antara mencuri perhatian adalah sedutan klip video penyanyi, Siti Nordiana yang mesra disapa Nana menjalani sesi latihan serta sedutan klip video semasa pentas separuh akhir, minggu lalu.
Minggu lalu, Nana hampir tersingkir selepas mempertaruhkan lagu Sudah Ku Tahu dan Hampa Hatimu.
Nyanyian penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu tangkap leleh ini juga dikatakan kurang memuaskan berbanding peserta lain.
Bagaimanapun, Nana bersama lapan peserta lain diumumkan berjaya mara ke pentas akhir.
Mereka ialah Tomok, Nikki Palikat, Naqiu, Hady Mirza, Jaclyn Victor, Siti Nordiana, Liza Hanim dan Azharina yang berpeluang untuk merebut gelaran juara.
ASGV dihoskan oleh pelawak, Nabil Ahmad dan Jihan Muse serta diadili oleh tiga juri berpengalaman, Datuk Ramli MS, Datuk Syafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang.