Kemiskinan pelbagai dimensi antara faktor kemerosotan PISA 2022 - Utusan Malaysia

Kemiskinan pelbagai dimensi antara faktor kemerosotan PISA 2022

NEGARA kini sudah beralih daripada sistem pendidikan berasaskan peperiksaan kepada sistem aktiviti pembelajaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Masalah kemiskinan pelbagai dimensi dikenalpasti antara punca kemerosotan purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya sudah mengenalpasti punca berlakunya kemerosotan berkenaan.

Jelas beliau, punca utama sememangnya akibat penutupan sekolah dalam tempoh amat panjang ketika musim pandemik Covid-19.

“Alasan kedua pula melibatkan kesenjangan akibat kemiskinan pelbagai dimensi seperti miskin peranti, ruang dan peluang serta akses internet.

“Semua isu berkenaan sudah dan akan terus ditangani Kementerian Pendidikan (KPM) secara berterusan” katanya selepas melawat Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC), semalam.

Minggu lalu, Malaysia dilaporkan mencatat kemerosotan dalam purata pencapaian ketiga-tiga domain literasi dalam Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022 dengan kesan pandemik Covid-19 yang menjejaskan aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dilihat sebagai antara faktor penyumbang utama.

Hasil kajian PISA setiap tiga tahun kecuali pada 2021 mendapati skor purata pencapaian dalam Literasi Matematik menurun sebanyak 31 mata pada kali ini, Literasi Saintifik (22) dan Literasi Bacaan (27) berbanding PISA 2018.

Keputusan pentaksiran kali ini turut menyaksikan Malaysia mencatat 52.1 peratus dalam penguasaan minimum Aras 2 hingga tertinggi Aras 6 bagi Literasi Saintifik, manakala Literasi Matematik pula 41.0 peratus dan Literasi Bacaan (41.9)

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Azman Adnan berkata, purata pencapaian Malaysia dalam Literasi Matematik mencatat skor 409 mata kali ini berbanding 440 pada 2018, Literasi Saintifik 416 berbanding 438 mata, dan Literasi Bacaan 388 berbanding 415 mata.

Purata pencapaian Pertubuhan Pembangunan dan Kerjasama Ekonomi (OECD) turut menurun dengan merekodkan skor 472 mata berbanding 489 pada 2018 bagi Literasi Matematik, Literasi Saintifik 485 berbanding 489 mata, serta Literasi Bacaan 476 berbanding 487 mata.

Mengulas lanjut, kata Fadhlina, KPM sudah meluncurkan Dasar Pendidikan Digital sebelum ini.

“Ia pastinya sebahagian daripada konteks yang ingin kita pertingkatkan dalam konteks PISA akan datang. Selain itu, program pengukuhan literasi turut menjadi gerak kerja kita selama ini termasuk dan kejayaan mengatasi isu keciciran,” ujarnya.

Tambah beliau, harapan pihaknya amat tinggi dalam memastikan semua gerak jalur kerja kekal konsisten untuk terus memperkukuhkan pendidikan negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya