PUTRAJAYA: Menteri Peladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyifatkan kementerian yang diterajuinya kini sudah teratur dan ditadbir dengan sempurna.
Bagaimanapun, katanya, tugasnya kini adalah meneruskan segala perancangan yang diatur dalam kementerian tersebut.
“Mereka telah melakukan kerja yang baik sebab bila saya tengok di laman web kementerian, semuanya sangat menyeluruh.
“Jadi, saya cuma nak mengukuhkan hubungan dengan pemain-pemain industri dalam sektor perladangan dan komoditi,” katanya ketika ditemui selepas mengimbas kad perakam waktu di lobi KPK tengah hari tadi sebagai simbolik memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu.
Beliau yang tiba kira-kira 1.10 tengah hari itu disambut timbalannya, Datuk Chan Foong Chin dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mad Zaidi Mohd Karli@Sukari sebelum menghadiri taklimat ringkas bersama pengurusan tertinggi KKM.
Johari antara lima bekas menteri yang dilantik semula dalam rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Mengulas lanjut Johari berkata, beliau mengakui tanggungjawab untuk menerajui kementerian tersebut agak mencabar kerana situasi ekonomi semasa.
Katanya, beliau akan mengadakan mesyuarat secara berkala dengan semua industri dan pemegang taruh dalam masa terdekat bagi mendapatkan situasi menyeluruh industri perladangan dan komoditi negara.
Jelasnya lagi, KPK bukan sebuah kementerian yang menjana pendapatan negara sebaliknya berperanan sebagai pemudah cara kepada industri.
“Kerajaan juga dapat tiga manfaat jika sektor perladangan dan komoditi diurus dengan baik termasuk perolehan cukai, peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN