PETALING JAYA: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Ghani menyifatkan Kementerian Perladangan dan Komoditi sebagai sebuah kementerian mencabar dan melibatkan pemikiran di luar kotak.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Johari menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan dan amanah yang diberikan untuk menerajui kementerian tersebut.
“Ia adalah sebuah kementerian yang mencabar dan banyak perkara yang melibatkan pemikiran di luar kotak dalam menghadapi cabaran masa depan.
“Bersandarkan pengalaman yang saya miliki, InsyaAllah, saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk negara,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut beliau, perkara pertama yang akan dilakukannya sebaik melapor diri di kementerian tersebut adalah untuk mendapatkan taklimat menyeluruh daripada semua agensi di bawahnya terlebih dahulu.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Johari sebagai muka baharu dalam barisan Kabinetnya iaitu sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi.
Portfolio kementerian itu sebelum ini dipegang oleh Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Untuk rekod, Johari yang merupakan akauntan bertauliah dari United Kigndom (UK) pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan pada tahun 2015.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk R. Ramanan yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beliau akan membalas kepercayaan dan tanggungjawab diberikan Perdana Menteri kepadanya dengan melaksanakan tugas tersebut sepenuh hati.
Menurutnya, beliau juga akan memberikan kerjasama penuh dengan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
“Kementerian ini sangat besar dan mempunyai banyak koperasi di bawahnya, jadi saya akan beri kerjasama dengan Menteri supaya dapat memperkukuhkan dan menaikkan potensi kementerian ke tahap lebih baik.
“Pelantikan ini adalah suatu tanggung jawab berat, tapi saya akan berusaha untuk memperoleh pencapaian terbaik. Fokus utama saya di kementerian adalah meningkatkan potensi perusahaan mikro,” katanya.
Selain memegang jawatan Timbalan Menteri, Ramanan juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra).-UTUSAN