KUALA TERENGGANU: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil perhatian terhadap rakaman video tular di media sosial yang memaparkan seorang guru bertindak kasar terhadap murid sewaktu penganjuran majlis rasmi di sekolah.
KPM dalam satu kenyataan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi memastikan isu tersebut dapat diselesaikan segera.
“Golongan pendidik dinasihatkan untuk sentiasa memelihara etika dan menjunjung tinggi martabat serta profesionalisme profesion perguruan.
“KPM komited memastikan keselamatan dan kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga institusi pendidikan bawah kelolaannya terpelihara,” menurut kenyataan itu.
Semalam, tular sebuah video berdurasi 41 saat memaparkan seorang guru bertindak memarahi dan memukul bahagian kepala seorang murid lelaki dipercayai berlaku dalam sebuah majlis rasmi di sebuah sekolah di Kuala Terengganu.
Video tersebut dikongsikan menerusi hantaran di laman sosial milik seorang wanita, dipercayai guru sekolah yang sama dengan teks tulisan ‘pendidik harus terdidik’.
Selain itu, individu dipercayai merupakan seorang guru itu turut memuat naik video kedua berdurasi 10 saat menunjukkan seorang lagi pelajar lelaki lain turut disepak pada bahagian kaki oleh guru berkenaan dalam majlis yang sama.
Individu itu menegaskan tujuannya memuat naik video tersebut adalah sebagai peringatan kepada individu lain supaya tidak mengulangi perbuatan sama.
“Biarlah nok kene saman ke nok kene mende ke. Nak upload jugop (juga). Takdop (tiada) niat nak buka aib tapi untuk jadi peringatan belaka ke (semua) orang.
“Mu cg (cikgu) ke guru besor ke, PK (penolong kanan) ke. X (tak) kisoh (kisah) lah sape (siapa) mu tu. Cuma masa nak marah atau tegur anak murid tu biar beradab sikit.
“Aku tak pernah buat student aku gitu (macam tu) nok (nak) maroh (marah) macam mana pun. Orang dok (tidak) wat (buat) depan orang gitu ramai-ramai. Biar cerdik sikit cg (cikgu) ‘eyh’, ” tulisnya.
Video tersebut bagaimanapun telah dipadam pagi tadi. – UTUSAN