PETALING JAYA: Kementerian Kerja Raya bersama Lembaga Lebuhraya Malaysia sedang meneliti semua aspek melibatkan pelaksanaan Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) seperti dirancang kerajaan terdahulu yang bermula pada 2021.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tidak dinafikan bahawa kerajaan terdahulu sudah mendapat kelulusan secara prinsip dalam pelaksanaan MLFF.
Bagaimanapun, katanya, kelulusan itu hanyalah untuk memberi ruang kepada proses rundingan dijalankan di antara pihak-pihak yang terlibat dalam pelaksanaan MLFF.
“Meskipun perancangan dan proses-proses kelulusan awal bermula sejak 2021, namun, sebagai Menteri Kerja Raya pada masa kini, saya menyedari perlunya beberapa penelitian dan tindakan penambahbaikan dilakukan.
“Ia terutamanya yang melibatkan aspek perundangan bagi memastikan MLFF ini dapat berjalan lancar dan memberi manfaat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan wujud monopoli dalam pelaksanaan MLFF.
Menurut Alexander, pihak konsesi lebuh raya masih memegang hak mutlak untuk mengutip tol seperti dalam perjanjian konsesi yang masih berkuat kuasa.
“Atas dasar ini, saya dan pasukan Kementerian sedang berusaha untuk memastikan kelancaran inisiatif MLFF ini supaya ia dapat menepati objektif yang diharapkan.
“Inisiatif ini memerlukan kerjasama dan sokongan yang menyeluruh bukan sahaja dari Kementerian ini malah pihak konsesi dan juga pengurusan tertinggi Kerajaan Perpaduan,” katanya. -UTUSAN