Kementerian Ekonomi giat laksana reformasi dasar

Kementerian Ekonomi giat laksana reformasi dasar

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Ekonomi memberi fokus kepada reformasi dasar ekonomi dengan memberi penekanan terhadap beberapa kategori utama.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan ingin mengukuhkan tahap kedudukan kewangan negara supaya ia menjadi lebih baik.

Sehubungan itu, kata beliau, beberapa kategori besar akan diberikan tumpuan khusus antaranya yang melibatkan pekerja dan juga pasaran kerja negara.

“Untuk tahun 2024, Kementerian Ekonomi dan kementerian-kementerian lain yang berkaitan akan memfokuskan kepada perancangan dan reformasi ekonomi.

“Keputusan dibuat dengan merancang dan mengenal pasti bagi membangunkan industri-industri bernilai tinggi dengan matlamat mencipta pertumbuhan dalam sektor baharu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Setahun Bersama Kerajaan Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.

Program Setahun Bersama Kerajaan Madani merupakan program sambutan tiga hari iaitu sehingga Ahad ini.

Ia bertujuan bagi menyebar dan mempromosikan dasar serta inisiatif yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, dasar gaji progresif merupakan sebahagian daripada strategi utama kerajaan.

Jelasnya, beberapa usaha dilakukakan dan ditekankan untuk tahun hadapan iaitu antaranya pengurangan secara tersusun pergantungan kepada pekerja asing dan peningkatan penglibatan pekerja tempatan.

“Ini merupakan antara tumpuan reformasi untuk tahun 2024,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga akan memberikan penekanan terhadap peningkatan dan penerokaan cara untuk menskalakan perniagaan pada tahun 2024.

“Kira-kira 80 peratus perniagaan di Malaysia adalah mikro. Jadi, segala perancangan kita mengenai ekonomi mesti mengambil kira jumlah ini.

“Dasar gaji progresif melindungi perniagaan mikro dan kita akan tumpukan cara untuk menskalakan perniagaan mereka supaya daripada peringkat mikro boleh jadi kecil, daripada kecil ke sederhana dan daripada sederhana boleh jadi besar.

Tegasnya, seluruh perancangan ekonomi dan dasar kerajaan akan mempertimbangkan struktur ekonomi dan perniagaan negara. 

“Inisiatif seterusnya adalah membantu perniagaan untuk mencapai tahap yang lebih tinggi dengan mengambil kira kepelbagaian langkah dan program yang diperlukan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya