Kematian ibu ketika jalani hukuman penjara insafkan Muhamad  - Utusan Malaysia

Kematian ibu ketika jalani hukuman penjara insafkan Muhamad 

MUHAMAD, 25, (bukan nama sebenar) bersama adiknya ketika dibebaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani di Penjara Pulau Pinang, George Town, hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kematian ibu ketika sedang menjalani hukuman di Penjara Pulau Pinang merupakan antara perkara yang paling dikesalkan Orang Bebas Berlesen (OBB), Muhamad, 25, (bukan nama sebenar).

Muhamad yang dibebaskan hari ini menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani berkata, dia hanya mendapat khabar mengenai ibunya yang meninggal dunia pada Ogos tahun ini menerusi panggilan video daripada ahli keluarga.

”Saya memang kesal ketika itu, namun tiada apa-apa yang boleh saya lakukan selain reda dengan apa yang berlaku.

“Saya bertekad tidak mahu lagi mengulangi kesalahan lama (kesalahan berkaitan dadah) dan mahu menjaga ayah yang sedang terlantar sakit akibat stroke bersama adik selepas ini,” katanya ketika ditemui di Dewan Kelab Penjara Pulau Pinang, di sini hari ini.

Muhamad antara 11 banduan di penjara berkenaan yang dibebaskan menerusi OBB di bawah program Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) Ihsan Madani hari ini dan dijemput adiknya sebelum pulang ke rumah keluarga mereka di Permatang Pauh, dekat sini.

SEBAHAGIAN daripada 11 banduan Penjara Pulau Pinang yang dibebaskan menerusi Program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani hari ini. – Pic: IQBAL HAMDAN

Muhamad berkata, dia dikenakan hukuman penjara pada Mei lalu atas kesalahan berkaitan dadah dan sepatutnya dibebaskan pada 9 Januari tahun depan.

Namun, katanya, dia bersyukur kerana dapat dibebaskan lebih awal hari ini menerusi PBSL, malah bercadang untuk berkahwin pada tahun depan dengan tunangnya.

“Saya sangat berterima kasih kepada ahli keluarga dan tunang saya yang tidak jemu-jemu memberikan peluang dan menyokong saya.

”Malah, tunang saya turut datang berjumpa saya hari ini selepas dibebaskan, namun dia tidak dapat tunggu lama di sini kerana bekerja,” katanya.

Tambahnya, dia akan bekerja di Batu Kawan sebagai pekerja landskap selepas ini dan berazam untuk tidak lagi terjebak dengan dadah.

”Sepanjang saya menjalani hukuman di penjara, program-program seperti ceramah agama, motivasi dan sebagainya amat menginsafkan saya,” katanya.

Dalam pada itu,Timbalan Penguasa Penjara Pulau Pinang, Awang Azizan Hasbi berkata, sejak Januari hingga Disember tahun ini, seramai 149 banduan dibebaskan menerusi program PBSL.

AWANG AZIZAN HASBI

”Pihak kami berharap kesemua yang dibebaskan menghargai peluang ini sebaik-baiknya dan membina hidup baharu tanpa mengulangi kesalahan lama,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya