Keluarga rugi RM13,000, katerer tidak hadir sediakan hidangan kenduri - Utusan Malaysia

Keluarga rugi RM13,000, katerer tidak hadir sediakan hidangan kenduri

SEBUAH keluarga terpaksa menyediakan sendiri hidangan untuk tetamu majlis kenduri yang dianjurkan mereka selepas pihak keterer yang ditempah gagal dihubungi sehingga ke saat akhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: Sebuah keluarga di daerah ini terpaksa pula memasak hidangan untuk disajikan kepada tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan yang dianjurkan mereka selepas pihak katerer yang ditempah untuk menyediakan makanan gagal memberikan maklum balas di saat akhir.

Abang kepada pasangan pengantin terbabit, Burhanuddin Rabbani Abdul Shukor, 31, berkata, mereka sekeluarga terpaksa membuat keputusan tersebut selepas pihak katerer yang sepatutnya menyediakan hidangan untuk 1,000 orang tetamu serta pelamin pengantin gagal dihubungi.

“Pihak katerer yang ditempah oleh adik (pengantin) untuk kenduri (semalam) di Dewan MRSM Serting tidak hadir. Banyak kali kami cuba hubungi namun tidak memberikan maklum balas, kami tunggu sehingga malam (kelmarin) tetap gagal dihubungi.

“Jadi kami putuskan untuk masak sendiri, kami hanya mampu untuk siapkan makanan dalam anggaran untuk 400 orang tetamu,” katanya di sini.

Menurutnya, adiknya yang merupakan pengantin, Raudhah Sakinah, 26, telah pun membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol di sini pada malam sebelum majlis tersebut.

Adiknya itu juga katanya, bercadang untuk membawa kes tersebut ke peringkat Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia ataupun merujuk kes ke pihak peguam.

“Kami sekeluarga berharap agar perkara tersebut tidak terjadi kepada pihak lain dan pihak berkuasa diharap dapat mengambil tindakan tegas kepada pihak katerer berkenaan,” katanya yang memberitahu mereka sekeluarga kerugian sebanyak RM13,000 melibatkan tempahan makanan, pelamin serta kerusi dan meja.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya