IPOH: Keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, pelajar sekolah yang maut dilanggar dan diseret sejauh lebih lima meter oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini hari ini, mahu menuntut keadilan di atas kejadian yang menimpa mangsa.
Kakak mangsa, Nur Zawani, 28, berkata, walau siapa pun pelakunya, individu itu perlu dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman yang setimpal.
“Kalau dia buat salah sekali pun, jumpa mak ayah saya, mahu letak dia di lokap sekali pun tak apa, tapi bukan hak dia buat macam itu (langgar).
“Saya harap ada keadilan terhadap adik walaupun yang buat itu (pelaku) seperti yang ditularkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini hari ini.
Kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari itu berlaku membabitkan motosikal jenis Yamaha ditunggang Muhammad Zaharif Affendi dan sebuah kereta Perodua Ativa dipandu lelaki berusia 44 tahun.
Difahamkan, berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta itu dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.
Suspek yang dipercayai seorang pegawai kanan polis itu telah mengejar mangsa sejauh lebih kurang satu kilometer dan melanggarnya dari belakang.
Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dari motosikal dan diseret kenderaan berkenaan.
Menurut Nur Zawani, ketika kejadian, dia berada berhampiran lokasi kemalangan dan terperanjat apabila diberitahu orang awam bahawa mangsa yang terlibat dalam nahas itu adalah adiknya sendiri.
Katanya, dia segera mendapatkan Muhammad Zaharif Affendi yang kaku terbaring di tepi jalan dan cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) kepadanya.
“Saya pangku kepala adik dan cuba selamatkannya. Saya beri bantuan CPR berkali-kali tapi tiada tindak balas. Ayah yang juga ada di situ bersama seorang ustaz bantu adik untuk mengucap,” katanya.
Nur Zawani yang juga seorang jururawat itu berkata, ibu dan bapanya bersedih dengan kejadian tersebut tambahan lagi mangsa merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan kesayangan ramai.
“Mak dan ayah saya tak kuat sebab itu mereka tidak datang ke sini (hospital). Adik anak bongsu, dia seorang sahaja yang bersekolah dan anak kesayangan,” katanya.
Jenazah Muhammad Zaharif Affendi dituntut keluarga selepas selesai proses bedah siasat sekitar pukul 6.30 petang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kepayang Luar di sini. – UTUSAN