Keluarga mahu suspek kes langgar Zaharif didakwa Seksyen 302 - Utusan Malaysia

Keluarga mahu suspek kes langgar Zaharif didakwa Seksyen 302

MIMI Julia Ismail, ibu Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie tidak dapat menahan sebak ketika mengenangkan kejadian yang menimpa anaknya di Taman Chepor Sentosa, Chemor di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie mahu kejadian yang menimpa pelajar itu disiasat dan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Bagi bapa kepada pelajar tersebut, Muhd Zamrie Zainal Abidin, tiada manusia yang sengaja melanggar dan jika seseorang itu sengaja melanggar bermakna membunuh.

“Ya saya memang minta Seksyen 302. Saya hendak ketelusan. Tiada orang pun kata sengaja melanggar. Kalau seseorang itu sengaja melanggar, dia memang membunuh,” katanya kepada pemberita di rumahnya di Taman Chepor Sentosa, Chemor di sini hari ini.

Muhammad Zaharif Affendi, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di sini yang maut dipercayai dilanggar kenderaan dipandu pegawai kanan polis pada Jumaat lalu di Jalan Taman Jati dekat Meru di sini.

Difahamkan, sebelum nahas itu berlaku insiden tidak puas hati melibatkan pemandu kereta itu dengan mangsa kerana dikatakan membuat bunyi bising ekzos motosikal.

Pada masa sama, Nur Zawanie Muhd Zamrie, 28, kakak kepada mangsa berkata keluarganya menuntut Seksyen 302 untuk pembelaan adiknya selain merasakan pelaku berkelakuan biasa dan tenang, bukan seperti seseorang yang akan berasa panik jika tidak sengaja membuat kesalahan.

“Saya berada di tempat kejadian dan saya tengok muka si pelaku itu sendiri, kita boleh baca body language seseorang. Bila saya tengok muka dan reaksi pelaku sendiri ketika saya sedang berada di situ, muka dia tiada rasa panik, tiada rasa takut.

“Dia hanya seperti orang awam yang datang melihat kemalangan jalan raya. Dia tiada rasa gelabah. Kita boleh tengok seseorang itu.

“Jika kamu tidak sengaja melakukan pelanggaran mesti akan rasa panik, mesti rasa takut. Tetapi dia dalam keadaan yang tenang sangat-sangat tenang muka dia,” katanya.

Keluarga itu memohon saksi di tempat kejadian termasuk yang mempunyai rakaman video untuk tampil berkongsi bahan bukti.

Muhd Zamrie berkata lagi, beliau juga telah melantik peguam untuk memperjuangkan nasib anaknya agar mendapat keadilan dan tidak ada sebarang cubaan berselindung.

Beliau juga berkongsi keadaan kesihatannya selepas menjalani pembedahan setahun lalu yang memberi kesan kepada pemakanannya.

“Saya tidak boleh berada di bawah tekanan. Jika di bawah tekanan atau terlampau letih, saya akan tumbang,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN