MELAKA: Jualan sebuah kedai kek di Jalan Bukit Cina di sini merudum sebanyak 90 peratus, susulan pelanjutan penutupan jalan selama 54 jam berbanding hanya setiap Sabtu sebelum ini.
Peniaga, Max Low Leong Fatt, 38, berkata, dia telah menyiapkan lebih 100 biji kek bernilai RM10,000 sempena Krismas dan tahun baharu, tetapi pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan telah menjejaskan kedatangan pelanggan.
Katanya, lebih parah apabila ramai pelanggan tidak tahu bagaimana untuk pergi ke kedainya susulan papan tanda arahan lencongan jalan yang kerap berubah.
“Dalam aplikasi Google Maps dan Waze masih belum dikemas kini arah jalan yang diubah. Jadi apabila pelanggan menggunakan aplikasi tersebut mereka akan melalui laluan yang telah dilencongkan.
“Sebelum jalan ditutup ramai pelanggan yang datang sehingga ada yang sanggup beratur sehingga ke luar premis. Bagaimanapun, keputusan secara drastik untuk menutup jalan lebih lama telah menyebabkan perniagaan saya terjejas teruk.
“Pekerja saya sampai tidak tahu mahu buat apa kerana pelanggan yang datang boleh dikira dengan jari. Sekarang saya buntu memikirkan kek yang masih belum terjual sedangkan musim perayaan seperti ini permintaannya sangat tinggi,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.
Tinjauan di sepanjang Jalan Bukit Cina mendapati, rata-rata peniaga meluahkan rasa kecewa terhadap kerajaan negeri kerana melanjutkan penutupan jalan ketika musim perayaan dan cuti sekolah.
Sementara itu, peniaga yang mahu dikenali sebagai Wah, 53, berkata, dia terpaksa menutup kedai kerana ketiadaan pelanggan.
Menurutnya, lencongan jalan oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) ibarat menyediakan ‘jalan mati’ kepada perniagaan di situ.
“Tidak ramai yang melalui kawasan ini apabila jalan dilencongkan. Orang ramai juga tidak mahu berjalan kaki terlalu jauh kerana ia memenatkan.
“Jadi lebih baik mereka mencari kawasan lain yang mudah dilalui. Buat apa saya buka kedai kalau tidak ada orang, lebih baik tutup saja,” ujarnya. – UTUSAN