GEORGE TOWN: Stigma penyakit kanser adalah penamat riwayat harus dikikis bagi memastikan pesakit kanser tidak berputus asa sekali gus positif menghadapi cabaran hidup.
Bagi sukarelawan Majlis Kanser Nasional (Makna), Azlina Abdullah, 70, dia menyifatkan penyakit kanser bukanlah hukuman bunuh, sebaliknya dapat memberikan jiwa baharu buat pesakit kanser.
Katanya, beliau sendiri merupakan pejuang kanser selepas dikesan menghidap barah payudara 17 tahun lalu.
“Saya banyakkan bersosial, bercampur dengan pesakit lain dan memperolehi inspirasi melihat bagaimana individu yang berdepan dengan cabaran sama meneruskan kehidupan.
“Kita perlu beriadah, aktifkan diri dan bersukan, kena berjalan dan kalau boleh, lakukan 5,000 langkah sehari.
“Semua ini rahsia Allah SWT, dan kita perlu berusaha dan berikhtiar untuk melawan penyakit ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Warrior Run di Persiaran Gurney, di sini hari ini.
Lebih 2,000 peserta menyertai larian sejauh 6.8 kilometer itu sekali gus menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dalam mencegah dan mengawal penyakit kanser.
Dalam pada itu, M. Suguna, 53, berkata, dia yang menghidap barah payudara sejak 10 tahun lalu aktif menjadi sukarelawan di beberapa hospital di negeri ini.
“Saya berkongsi tips dan pengalaman supaya pesakit kanser sama-sama kekal positif melawan penyakit.
“Selain itu, sokongan daripada ahli keluarga juga amat penting bagi memastikan emosi kita kekal kuat.
“Saya juga banyakkan beriadah dan tidak hanya terperap di rumah,” katanya.
Sementara itu, pakar Bedah Am, Endokrin, Payudara dan Bariatrik Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr. M. Kirubakaran berkata, pesakit kanser digalakkan bersenam mengikut kemampuan diri.
“Antara riadah ringan yang disyorkan termasuklah senaman regangan, berjoging, berjalan kaki dan berbasikal.
“Walau bagaimanapun, ia perlu dilakukan mengikut kesesuaian serta tahap kecergasan pesakit,” katanya. – UTUSAN