KUALA TERENGGANU: Kanak-kanak lelaki yang ditemukan lemas di Sungai Tok Hakim di sini, pagi tadi, tidak sempat menyediakan hidangan istimewa untuk ahli keluarganya.
Nor Ashikin Alias, 51, ibu saudara kepada kanak-kanak itu, Muhammad Harraz Ilman Mohd. Syahril Redhuan, 11, berkata, mangsa seorang yang gemar memasak terutama pada masa lapang atau cuti sekolah.
Menurutnya, Muhammad Harraz Ilman ada merancang untuk membuat hidangan pastri ‘cromboloni’ hari ini namun dikejutkan berita anak kedua daripada tiga beradik itu lemas, petang semalam.
Katanya, lebih mengejutkan ahli keluarga yang lain apabila menyedari lokasi kejadian itu tidak pernah dikunjungi kerana terletak agak jauh iaitu lebih satu kilometer dari rumah mangsa.
“Harraz sangat rapat dengan kami semua kerana arwah seorang yang bijak dan banyak bercakap meskipun bergelar kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran atau disleksia.
“Malah kami sering bertanya khabar menerusi panggilan video dan setiap kali berhubung, Harraz sentiasa bercerita tentang makanan atau masakan kerana itu memang hobinya.
“Ibu mangsa, Zarina Ahmad, 41, memaklumkan mangsa tidak pernah ke kawasan itu malah ketika kejadian mangsa hanya mahu mandi hujan di depan rumah,” katanya.
Nor Ashikin yang tinggal di Puchong, Selangor, berkata, dia juga tidak menyangka kepulangan ke kampung halaman adalah bagi menghadiri majlis pengkebumian anak saudaranya itu.
“Saya sempat membeli buah tangan iaitu beberapa helai baju baharu kepada Harraz dan dua beradiknya untuk diberikan sempena cuti persekolahan ini namun Allah lebih sayangkan dia,” ujarnya.
Dalam kejadian pada pukul 4.20 petang semalam, Muhammad Harraz Ilman tergelincir ketika bersama adiknya, Muhammad Firas Wafiy, 9, dan seorang rakan mereka sebelum dihanyutkan arus deras.
Mayat murid Sekolah Kebangsaan Bukit Besar itu kemudian ditemukan pada pukul 11 pagi tadi di dasar sungai pada kedalaman 1.5 meter pada jarak 30 meter dari lokasi terakhir dilihat.
Jenazahnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Haji Idris, Kampung Gong Kemunting dekat Kuala Ibai, pada pukul.5.35 petang tadi. – UTUSAN