TAWAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun ditemukan lemas selepas tergelincir dan terjatuh ke muara sungai di Kampung Kurnia Jaya, Jalan Apas, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.54 petang semalam, kanak-kanak tersebut dikatakan sedang bermain di belakang rumahnya sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam muara sungai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Jemishin Ujin berkata, mangsa ditemukan pada pukul 6.45 pagi ini oleh orang awam pada jarak kira-kira 200 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian kanak-kanak jatuh di muara sungai pada pukul 6 petang semalam dan sepasukan pegawai dan anggota ke lokasi kejadian. – UTUSAN