KUALA LANGAT: Penduduk Kampung Seri Cheeding, di sini kesal tindakan pengusaha ternakan ayam mengabaikan tanggungjawab memastikan kebersihan reban ayam sehingga mencetuskan serangan lalat.
Masalah tersebut menyebabkan kedai runcit, warung dan premis-premis lain selain rumah dihurung lalat.
Menurut Pengerusi Persatuan Anak Kampung Seri Cheeding, Muhamad Ilham Ahmad, 51, masalah yang berlarutan hampir dua dekad itu berlaku setiap kali penternak mengeluarkan kesemua ayam mereka untuk dipasarkan.
“Kebiasaannya, apabila semua ayam dipasarkan dan reban kosong, pengusaha akan membersihkan premis mereka. Semasa inilah lalat dari kawasan penternakan akan mula ‘mengganggu’ penduduk kampung ini.
“Boleh lihat sendiri berapa banyak lalat di warung ini. Dalam masa sekejap sahaja banyak lalat yang melekat di kertas bergam ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambahnya, berdasarkan aduan penduduk kampung, lalat-lalat pelbagai saiz tersebut menjejaskan aktiviti harian suri rumah seperti memasak dan membersihkan rumah.
Jelasnya lagi, makanan yang dimasak akan dicemari lalat dan ini menyebabkan ada penduduk terpaksa menutup semua tingkap dan pintu hanya untuk makan tengahari dan sarapan pagi.
“Apa yang saya musykil, apakah tindakan konkrit yang harus diambil oleh pihak berkuasa dalam isu ini. Laporan pernah dibuat tetapi tindakan dari masa ke semasa tidak dilakukan.
“Berdasarkan Garis Panduan Perancangan Ladang Penternakan Ayam(GPP Lantera) yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) tahun lalu, penternak perlu mewujudkan zon penampan sejauh 200 meter antara ladang ayam dan rumah penduduk. Namun kebanyakan ladang ayam ini ada yang mempunyai jarak 158 meter dan 147 meter di kawasan kediaman penduduk kampung ini,” jelasnya.
Sementara itu seorang penduduk yang ingin dikenali sebagai Husin,50, berkata, dia bimbang lalat yang banyak itu akan membawa kuman yang membawa pelbagai penyakit kepada penduduk.
Husin yang mempunyai seorang isteri dan empat anak berkata, lalat yang banyak muncul tidak mengira masa akan berkurang apabila penternak membawa masuk anak ayam baharu untuk ‘dibesarkan’ dalam masa beberapa minggu.
“Selepas beberapa bulan, lalat kembali ‘menyerang’ setelah reban kosong. Soalnya sampai bila perkara ini harus kami hadapi.
“Saya berharap ladang ayam dan pengusahanya dipindahkan ke kawasan yang sesuai. Peraturan yang ada perlu dipatuhi dan dikuatkuasakan, jangan sampai lalat membawa wabak hingga berlaku sesuatu tragedi baru hendak bertindak,” ujarnya.-UTUSAN