“AWAK ini asyik melepak dengan kawan-kawan. Kain bersepah tak dilipatnya, asyiklah mengadap telefon bimbit.”
Bagi golongan suami, bait-bait ini pasti sudah menjadi kelaziman di rumah. Hampir setiap hari mendengar bebelan isteri boleh ‘bernanah’ telinga dibuatnya.
Namun, sedarkah kita sebenarnya isteri sedang berada dalam fasa toksik keserabutan kerana kerja rumah memang tidak akan pernah habis.
SUAMI PERLU FAHAM
“KALAU isteri tak bercakap, rumah akan jadi macam ‘tanah kubur’ tiada bunyi dan akhirnya sunyi-sepi.”
Itu gambaran Pakar Motivasi dan Kaunseling Keluarga, Dr. Robiah Kulop Hamzah mengenai perkataan bebelan yang sering dianggap sebagai satu perkara negatif.
Mengaitkan senario itu dengan situasi di sekolah, murid-murid nakal sering menganggap guru yang suka berceloteh semasa sesi pengajaran dan pembelajaran sebagai ‘membebel’.
Sedangkan, katanya, membebel itu adalah tugas guru dalam menyampaikan ilmu, nasihat dan panduan hidup.
Berbalik pada isu rumah tangga, Dr. Robiah berkata, golongan lelaki sepatutnya memahami isteri mereka kenapa bebelan itu sudah menjadi satu tabiat dalam kehidupan.
“Ada pula pasangan suami isteri datang ke klinik kaunseling saya, mengadu isterinya pendiam.
“Kebanyakan kes seperti ini melibatkan golongan profesional seperti doktor, peguam dan jurutera.
“Ini adalah kerjaya tak bercakap yang tugasnya mengadap komputer sepenuh masa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Robiah berkata, faktor yang menyebabkan seseorang wanita kuat membebebel bergantung kepada bagaimana cara mereka dibesarkan serta pengaruh persekitaran.
“Setiap perkataan yang keluar daripada mulut seseorang bergantung tafsirannya. Ada isteri kuat membebel sebab suaminya tidak menjalankan fungsi di rumah.
“Bebelan itu sebenarnya adalah satu bentuk disiplin di rumah supaya suami dan anak-anak menjalankan tugas masing-masing.
“Jangan semua benda seperti membasuh, mengasuh anak, menyidai kain, menyapu sampah atau melipat kain diserahkan pada isteri,” jelasnya.