MELAKA: “Saya dan ibu tetap kuatkan semangat untuk mengambil diploma bagi pihak adik walaupun kami masih bersedih atas kehilangannya”.
Itu luahan Nur Hazirah Yaacob, 26, selepas menemani ibunya, Rohayah Ahmad, 63, hadir ke Majlis Konvokesyen Universiti Melaka (Unimel) untuk mengambil Diploma Kejururawatan yang diberikan secara anumerta kepada Izah Suhailah Yaacob.
Nur Hazirah berkata, anak bongsu daripada enam beradik itu maut dalam kemalangan jalan raya di Klebang di sini pada Mei lalu ketika pulang dari kerja.
“Adik mula belajar di Unimel pada 2019 dan telah menamatkan pengajian. Selepas itu dia sedang menunggu untuk mengambil lesen Lembaga Kejururawatan Malaysia (LJM).
“Setelah dua minggu menamatkan pengajian dia kemudiannya diterima bekerja di sebuah pusat perubatan swasta. Dia juga sempat belanja ahli keluarga selepas mendapat gaji pertama.
“Memang niat dia mahu bekerja untuk membantu ibu dan ayah. Bagaimanapun, dia hanya sempat bekerja kira-kira dua bulan sebelum ditimpa kemalangan jalan raya yang meragut nyawanya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Unimel Ke-25 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, hari ini.
Tambah Nur Hazirah, sikap Izah Suhailah yang ceria, menghormati ibu bapa, mesra dan rajin membuatkannya disenangi ramai.
Menurutnya, ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adiknya pernah menyuarakan kebimbangan tidak dapat mengikuti pengajian dengan baik.
“Tapi Izah Suhailah tetap berusaha keras agar dia dapat menjadi jururawat sama seperti saya. Alhamdulillah, dia berjaya menamatkan pengajian dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.50,” ujarnya. – UTUSAN