Kabinet: Saya masih terkejut - Mohamed Khaled

Kabinet: Saya masih terkejut – Mohamed Khaled

MOHAMED Khaled Nordin menyaksikan pertukaran MoU antara Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Pengerusi Malaysian Academic Consortium Sdn. Bhd, Datuk Dr. Shahril Mohamed Haniffa pada Majlis Menandatangani MoU Penawaran Perkhidmatan Pelantar ‘Kolektif’ antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Malaysian Academic Consortium Sdn. Bhd di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan beliau masih terkejut selepas mengetahui pengumuman pertukaran portfolio Kementerian Pendidikan Tinggi yang disandangnya ketika ini.

Terdahulu rombakan Kabinet berkenaan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pukul 11 pagi.

“Saya tidak mahu cakap lagi sebab saya masih terkejut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pengumuman rombakan Kabinet selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Penawaran Perkhidmatan Pelantar ‘Kolektif’ antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Malaysian Academic Consortium Sdn. Bhd di sini hari ini.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO akan bertukar sebagai Menteri Pertahanan menggantikan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Manakala, Menteri Pendidikan Tinggi akan disandang oleh Datuk Seri Diraja Zambry Abd Kadir.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui Jabatan Pendidikan Tinggi dan Malaysian Academic Consortium (MAC) menjalinkan kerjasama menjayakan inisiatif pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam talian melalui platform yang lebih terbuka dan bersepadu dikenali sebagai pelantar Kolektif.

Kerjasama itu dimeterai melalui MoU dengan diwakili Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Pengerusi Malaysian Academic Consortium Sdn. Bhd, Datuk Dr. Shahril Mohamed Haniffa.

Inisiatif KPT dan MAC melalui pelantar Kolektif seperti ‘micro credentials’ ini akan memperkukuhkan lagi kaedah penyampaian PdP melalui bahan- bahan yang menggunakan automasi dan teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan (AI).

Pada masa kini, kesemua 20 buah institut pengajian tinggi awam sedang mengorak langkah dalam menawarkan PdP dalam talian terutamanya dalam bentuk ‘micro credentials’ secara meluas.

Penggunaan pelantar Kolektif kelak akan mewujudkan ruang serta peluang untuk memperluaskan pemasaran penawaran micro credentials pada peringkat kebangsaan mahu pun antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN