PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying bertukar porfolio daripada Timbalan Menteri Pendidikan kepada Timbalan Menteri Kewangan.
Dua penyandang Timbalan Menteri Kewangan sebelum ini iaitu Datuk Seri Ahmad Maslan bertukar kepada Timbalan Menteri Kerja Raya manakala Steven Sim Chee Keong pula naik pangkat sebagai Menteri Sumber Manusia.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Wong Kah Wong yang merupakan muka baharu dan beliau dilantik Timbalan Menteri Pendidikan.
Rombakan Kabinet juga menyaksikan Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Nasir bertukar daripada Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan kepada Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.
Kekosongan Akmal diisi Aiman Athirah Sabu yang sebelum ini Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Selain itu, Datuk Arthur Joseph Kurup bertukar daripada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan manakala tempatnya digantikan oleh Datuk Mohammad Yusof Apdal sebelum ini Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi.
Kekosongan Mohammad Yusof diisi Datuk Mustapha @ Mohd Yunus Sakmud yang bertukar portfolio daripada Timbalan Menteri Sumber Manusia.
Pada masa sama, K. Sarawathy pula bertukar daripada Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kepada Timbalan Menteri Perpaduan.
Rombakan Kabinet juga menyaksikan pertukaran porfolio pemimpin DAP Sabah iaitu Datuk Chan Foong Hing daripada Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.
Seorang lagi pemimpin UMNO iaitu, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad bertukar tugas sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia daripada Timbalan Menteri Kerja Raya. – UTUSAN