PETALING JAYA : Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin meluahkan rasa rindunya kepada anak sulungnya itu.
Sekeping gambar dikongsi Ismanira Abdul Manaf, 28, di laman sosial Instagram (IG) miliknya meruntun jiwa dengan dititip pesanan buat anak syurga itu agar menunggunya di syurga.
“Jumpa lagi ya abang. Tunggu mommy tau abang. mommy rindu sangat nak peluk cium dan gomol abang. Abang tetap anak sulung mommy sampai bila-bila tiada ganti.
“Maafkan mommy jika banyak kekurangan sepanjang membesarkan abang,” tulisnya.
Menerusi hantaran itu, dia meminta maaf kepada semua kerana tidak sempat membalas pesanan di aplikasi WhatsApp atau panggilan telefon buat masa ini.
“Telefon saya dan suami masih lagi pihak polis pegang untuk membantu siasatan.
“Mohon maaf ya. Bukan saya ignore (tidak peduli), Instgram ini saya log in guna phone lain. Pinjam phone orang,” katanya.
Ismanira juga mengucapkan terima kasih kepada semua mendoakannya.
“Saya mohon semua doakan saya diberikan kekuatan. Saya masih lagi tak stabil emosi.
“Ini ujian paling berat dalam hidup Ya Allah tabahkanlah aku,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian Zayn Rayyan diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.
Mayat Zayn Rayyan ditemui di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira pukul 10 malam Rabu lalu. – UTUSAN