Jumlah mangsa banjir gelombang kedua meningkat - Utusan Malaysia

Jumlah mangsa banjir gelombang kedua meningkat

PENDUDUK mengambil peluang menaiki sampan meninjau banjir di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong, Hulu Terengganu. - UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Jumlah mangsa banjir gelombang kedua di Terengganu yang bermula semalam menyaksikan jumlah mangsa terus meningkat kepada 461 orang daripada 148 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, jumlah tersebut meningkat berbanding hanya 124 mangsa daripada 29 keluarga di satu pusat pemindahan sementara (PPS) sahaja pada pukul 4 petang semalam.

Menurutnya, ketika ini seramai 448 mangsa daripada 144 keluarga berada di tujuh PPS di daerah Hulu Terengganu manakala di Setiu, terdapat 13 mangsa daripada empat keluarga di dua PPS.

“Hujan lebat masih berlaku di beberapa tempat dan sekiranya berterusan, kita menjangka ada perpindahan ke PPS terutama penduduk di kawasan rendah,” katanya di sini, pagi ini.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan tiga sungai di Terengganu telah melepasi paras bahaya pagi ini.

Sungai tersebut ialah Sungai Nerus di Kampung Langkap, daerah Setiu yang merekodkan bacaan setinggi 21.17 meter (m) berbanding paras bahaya 21 m.

Dua lagi ialah Sungai Telemong di Kuala Ping, daerah Hulu Terengganu setinggi 20.09 m mengatasi paras bahaya 19.7 m dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau (daerah Dungun) setinggi 13.43 m berbanding paras bahaya 12.50 m.

Selain itu dua sungai pula telah melepasi paras amaran iaitu Sungai Besut di Jambatan Keruak (daerah Besut) yang merekodkan bacaan setinggi 34.09 meter berbanding paras amaran 34 m dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri setinggi 8.52 meter berbanding paras amaran 8.3 m.

Tiga stesen lain turut merekodkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Tersat di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu; Sungai Tebak di Jambatan Tebak dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik (daerah Kemaman).

Stesen bacaan lain yang turut merekodkan paras berjaga-jaga ialah ialah Sungai Chalok di Jambatan Chalok dan Sungai Setiu di Kampung Besut (daerah Setiu) serta Sungai Besut di Kampung La (daerah Besut). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN