Jumlah mangsa banjir gelombang kedua di Terengganu meningkat - Utusan Malaysia

Jumlah mangsa banjir gelombang kedua di Terengganu meningkat

DUA penduduk meredah banjir setelah pulang daripada menunaikan solat Jumaat di Kampung Pengkalan Ajal, Kuala Berang, Hulu Terengganu, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU : Banjir di Terengganu terus merebak ke dua lagi daerah iaitu Dungun dan Kemaman pagi ini menjadikan jumlah mangsa terus meningkat kepada 1,182 orang daripada 299 keluarga setakat pukul 8 pagi ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memberitahu, jumlah itu meningkat hampir tiga kali ganda berbanding 330 orang daripada 109 keluarga pada pukul 4 petang semalam.

Menurutnya, terdapat 21 pusat pemindahan sementara (PPS) kini dibuka di empat daerah berbanding hanya lima PPS di dua daerah yang beroperasi petang semalam.

Ketika ini mangsa tertinggi ialah di daerah Dungun iaitu seramai 551 orang daripada 120 keluarga yang berada di sembilan PPS pagi ini.

“Di Hulu Terengganu pula terdapat 433 orang daripada 135 keluarga yang berada di lapan PPS manakala di Kemaman, seramai 193 mangsa daripada 43 keluarga kini berlindung di tiga PPS.

“Mangsa di Setiu pula berkurangan kepada lima sekeluarga sahaja yang kini berada di PPS Kampung Besut,” katanya di sini, pagi ini.

Ketika ini, hujan masih berlaku di sesetengah kawasan dan kerja-kerja memindahkan mangsa masih dilakukan.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan tiga sungai di Terengganu telah melepasi paras bahaya pagi ini.

Sungai tersebut ialah Sungai Nerus di Kampung Langkap, daerah Setiu yang merekodkan bacaan setinggi 21.82 meter (m) berbanding paras bahaya 21 m.

Dua lagi ialah Sungai Telemong di Kuala Ping, daerah Hulu Terengganu setinggi 19.93 m mengatasi paras bahaya 19.7 m dan Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu yang merekodkan bacaan 9.38 m berbanding paras bahaya 8.4 m.

Lima lagi stesen turut merekodkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Sungai Setiu di Kampung Besut dan Jambatan Permaisuri, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan, Sungai Dungun di Jambatan Jerangau serta Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN