Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat secara mendadak - Utusan Malaysia

Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat secara mendadak

SEKUMPULAN kanak-kanak bermain banjir di Kampung Paya, Balai Besar, Dungun, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat secara mendadak kepada 2,724 orang daripada 670 keluarga setakat pukul 6 petang ini berbanding 1,182 orang daripada 299 keluarga pada pukul 8 pagi tadi.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu memberitahu, daerah Besut dan Marang kini menjadi daerah terbaru dilanda banjir pada petang ini.

Menurutnya, terdapat 44 pusat pemindahan sementara (PPS) kini dibuka di enam daerah berbanding hanya 21 PPS di empat daerah yang beroperasi pagi tadi.

Ketika ini, mangsa tertinggi ialah di Dungun iaitu 1,569 mangsa daripada 389 keluarga di 14 PPS diikuti daerah Hulu Terengganu iaitu 282 orang daripada 64 keluarga di tujuh PPS.

“Di Besut, seramai 242 mangsa daripada 65 keluarga kini ditempatkan di lapan PPS manakala di Marang, seramai 220 mangsa daripada 40 keluarga kini berlindung di empat PPS.

“Selain itu, seramai 227 mangsa daripada 54 keluarga kini berada di tiga PPS di Kemaman dan 184 mangsa daripada 58 keluarga pula berada di lapan PPS di Setiu,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar mematuhi cadangan laluan alternatif yang dijalankan kerana terdapat risiko beberapa jalan dinaiki air ketika banjir berlaku.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan tiga sungai di Terengganu telah melepasi paras bahaya pagi ini.

Sungai tersebut ialah Sungai Nerus di Kampung Langkap, daerah Setiu yang merekodkan bacaan setinggi 21.38 meter (m) berbanding paras bahaya 21 m.

Dua lagi ialah Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri setinggi 8.83 meter (paras bahaya 8.80 m) dan Sungai Marang di Pengkalan Berangan setinggi 2.79 m berbanding paras bahaya 2.70 m.

Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman pula kini berada di paras amaran manakala dua lagi sungai telah melepasi paras berjaga-jaga iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu dan Sungai Dungun di Jambatan Jerangau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN