HULU TERENGGANU: Banjir yang melanda daerah ini semakin buruk apabila jumlah mangsa kini meningkat kepada seramai 240 orang setakat pukul 6 petang ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, empat pusat pemindahan sementara (PPS) telah dibuka bagi menempatkan keseluruhan 65 keluarga yang terlibat.
“Lokasi pertama PPS dibuka ialah di Projek Penyusunan Semula Kampung (PPSK) Felcra Gunung Menerong pada pukul 10.20 pagi tadi. Kini seramai 124 mangsa daripada 29 keluarga telah dipindahkan.
“Tiga PPS baharu dibuka ialah PPS Lubuk Periuk dan PPS Kemat dengan masing-masing seramai 32 mangsa serta PPS Peneh melibatkan seramai 52 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan.
Banjir gelombang kedua melanda negeri ini dengan Hulu Terengganu menjadi daerah pertama terjejas ekoran hujan lebat berterusan lebih dua hari sejak Selasa lalu. – UTUSAN