JPS diminta siasat punca banjir kilat di Felda Rasau

JPS diminta siasat punca banjir kilat di Felda Rasau

AHMAD Shabery Cheek (kiri) menyampaikan kit bantuan banjir kepada salah seorang mangsa banjir kilat di Felda Kerteh 4, Dungun, Terengganu. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan agensi berkaitan perlu mengenal pasti punca berlaku banjir kilat di gugusan Felda Rasau, Kerteh, dekat sini, Ahad lalu.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kajian perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca bencana yang pertama kali berlaku sejak lebih 40 tahun tanah rancangan Felda itu dibuka bagi mengelak kejadian sama berulang selepas ini. 

“Saya difahamkan kejadian banjir ini seperti insiden kepala air setelah didapati air datang secara mendadak dan surut tidak lama kemudian. 

“Kita perlu bincang bersama JPS bagi melihat kembali sistem perparitan, sungai dan tempat takungan yang mungkin telah ditimbus mengakibatkan tiada lagi tempat takungan yang boleh menampung hujan lebat. 

“Perkara ini perlu dilihat secara meluas dan kita bersedia membantu untuk keselamatan penduduk di kawasan terlibat,” katanya ketika ditemui selepas melawat mangsa banjir di Dewan Felda Kerteh 4, di sini, malam tadi. 

Ahmad Shabery berkata, pihaknya sedang menguruskan bantuan segera yang diperlukan kepada mangsa banjir terlibat. 

“Walaupun banjir surut, isu yang besar ialah kebanyakan rumah mangsa mengalami kerosakan teruk, mereka tidak ada tilam, dapur, perabot dan tempat bermalam. 

“Pihak Felda akan mencari jalan penyelesaian jangka pendek. Insya-Allah kita akan bantu menguruskan keperluan segera mereka termasuk kelengkapan persekolahan anak-anak,” katanya. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang pada Ahad lalu, kediaman kira-kira 300 penduduk daripada lebih 60 keluarga di gugusan Felda Kerteh 1, Kerteh 4 dan Ketengah Jaya terjejas teruk akibat banjir kilat tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN