SHAH ALAM: Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 50, menasihati masyarakat agar bersangka baik terutama berkaitan jodoh seseorang.
Tegas Nora, berpada-padalah dalam menurunkan komen di media sosial kerana setiap manusia akan diuji dengan perkara yang mereka benci.
“Jodoh adalah rahsia Allah, sama seperti ajal. Dulu saya pernah cakap tidak mahu berkahwin lagi.
“Namun kita tidak tahu apa akan terjadi kepada kita kemudian hari. Sama seperti ajal dan rezeki.
“Orang boleh bercakap apa sahaja. Semestinya mereka boleh menurunkan komen tapi jangan berlebihan, kerana Allah akan uji apa yang kita tidak suka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Nora mengulas mengenai selebriti yang memilih untuk kahwin lagi. Penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu juga berpendapat setiap orang berhak berasa bahagia dan mengajak masyarakat mendoakan kebaikan buat mereka.
“Orang kalau nak bercakap, mereka akan bercakap apa sahaja. Tapi kata-kata itu tak memberi kesan kepada mereka (pengantin).
“Mereka ada hak untuk bahagia sama seperti kita yang inginkan kebahagiaan juga,” tambahnya.
Sebelum ini, komposer juga suami Nora, Johan Nawawi, menghembuskan nafas terakhir pada tahun 2017.
Nora mendirikan rumah tangga dengan seorang pensyarah, Dr Rushdi Ramli pada Disember 2021 selepas lama menyendiri.