Setiap ibu bapa ingin yang terbaik untuk anak -anak termasuk soal jodoh.
Ini terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak lanjut usia.
Sebahagiannya tidak boleh menolak jodoh pilihan orang tua dengan alasan mahu membahagiakan dan tidak mahu mengecewakan insan tersayang.
Pun begitu bukan semua jodoh diatur ibu bapa itu tepat dan kekal.
Minggu ini saya kongsikan kisah Noni, (bukan nama sebenar) yang dijodohkan dengan lelaki pilihan orang tua, namun kebahagiaan diimpi hanya sementara.
Wanita berusia 29 tahun itu berkata, walaupun gagal menunaikan janji kedua ibu bapa untuk mencipta syurga bersama lelaki pilihan mereka, dia tetap bersyukur.
Ini kerana ibu bapanya bersikap terbuka dan berani mengakui kesilapan selepas perkahwinan diatur tidak menjadi dan hanya bertahan dua tahun.
“Apabila melihat perhubungan itu tidak mampu dibawa lebih jauh, saya menyuarakan kepada ibu dan ayah dengan cara berhemah.
“Sejujurnya, saya tidak mahu menyakiti hati ibu dan ayah.Sewaktu berbincang dengan ibu ayah, saya cuba sedaya upaya menyampaikan mesej dengan jelas bahawa saya tidak bahagia .
“Alhamdulilah, mereka menerimanya dengan hati terbuka dan faham hubungan yang diatur tidak kesampaian,” ujarnya dalam pertemuan dengan saya baru-baru ini.
Mengimbau kisah dijodohkan dengan pilihan keluarga, kata anak kelahiran Taiping, Perak itu dia menikahi Danial (bukan nama sebenar) selepas ibu bapa masing-masing bersetuju menyatukan mereka berdua.
Kedua ibu bapa Noni dan Danial, bersahabat baik sejak di zaman universiti.
Bercerita lanjut kata Noni, jauh di sudut hati, dia sebenarnya bimbang, namun masih meletakkan kepercayaan atas pilihan kedua ibu bapa.
Faktor itulah yang membuatkan dia menerima lelaki itu.
Sungguh Noni menyerahkan urusan jodoh kepada orang tua, namun dia tetap melakukan solat sunat istikharah untuk memohon petunjuk dalam membuat keputusan berkaitan perkara besar dalam hidupnya.
Tidak pernah berkenalan, hanya bertemu beberapa kali, keduanya akur kehendak orang tua demi menghormati silaturahim.
Janggal pada usia awal perkahwinan, namun benih cinta yang disemai cepat bercambah, menjadi putik dan akhirnya berbunga.
Awalnya, hubungan Noni dan Danial baik-baik sahaja.
Namun pada tahun kedua perkahwinan, pasangan ini diuji apabila Danial bertemu semula dengan bekas teman wanitanya yang baru pulang dari luar negara.
Sejak itu, Danial mula berubah hati. Bunga yang kembang semakin layu dan pelbagai alasan diberikan untuk menjauhi Noni.
Danial semakin tidak peduli dengan diri dan perasaannya sebagai isteri.
Tidak ada angin tidak ada hujan, tiba-tiba sahaja bekas suami jadi sibuk. Padahal, kalau dilihat, tidak ada yang berubah dari rutin hariannya.
Bahkan menurut teman-temannya, jadual kerja biasa sahaja, tidak ada kerja lebih masa atau projek baharu yang boleh membuatnya sibuk.
“Pada hari biasa dia sering pulang lewat. Bila tiba hujung minggu, jarang ada di rumah. Perbualan kami berdua juga semakin hari semakin hambar. Dia tidak lagi suka memperkatakan dengan lebih lanjut sesuatu perkara berbanding dahulu.
“Bermacam-macam alasan diberikan agar saya tidak mengajaknya berbual panjang,” cerita Noni.
Kemuncak perselisihan faham pasangan ini ialah apabila pada suatu hari Danial berterus terang bahawa dia sudah tiada hati terhadapnya.
Kata Noni, walaupun didatangkan ujian berat ketika itu, dia tidak cepat melenting dan kekal tenang.
“Saya tidak tersinggung , apatah lagi bersedih sebaik bekas suami menyatakan perasaannya ketika itu.
“Apa yang penting saya sudah tahu isi hatinya terhadap saya. Apa guna terus hidup bersama orang yang tidak sayangkan kita,” kata Noni.
Hampir enam bulan mereka memilih hidup untuk melakukan hal masing-masing tetapi masih bergelar suami isteri.
Sepanjang tempoh itu pelbagai usaha telah dilakukan tetapi takdir menentukan perpisahan adalah jalan yang terbaik.
Dia reda dan meneruskan kehidupan kerana percaya perceraian bukanlah satu pengakhiran.
Sebaliknya ia merupakan satu permulaan untuknya memulakan kehidupan baharu tanpa perlu bertahan dengan kesakitan.
Mengakhiri perbualan tengahari itu, Noni sempat menitip pesan kepada mana-mana wanita atau lelaki yang jodohnya dipilih orang tua agar lebih bersedia menghadapi cabaran dan dugaan yang menanti.
“Mereka harus bersiap sedia menjadi suami atau isteri yang baik walaupun pada waktu yang sama perasaan cinta belum tumbuh dalam hati masing-masing.
“Sejujurnya, jangan jadi seperti saya terlalu memaksa diri untuk menyintai seseorang. Belajar untuk berkata `tidak’ kepada orang tua dengan cara berhemah, memberi alasan kukuh, tetapi janganlah sampai menguris perasaan mereka,” ujarnya penuh makna.
Sesungguhnya dalam soal mencari jodoh, Rasulullah SAW bersabda; “Seorang wanita dinikahi kerana empat sebab: Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agama. Maka hendaklah kamu merebut yang empunya agama, itulah pilihan terbaik.” (HR Bukhari dan Muslim).
Jelas sekali dalam hadis ini, perkara perlu diperhatikan lelaki dalam diri calon pasangan ialah hartanya-kaya atau tidak; keturunannya-apakah dia berasal daripada keturunan baik-baik: kecantikannya-rupa paras dan agamanya-faham dan amalan agamanya.
Namun, Islam menyarankan sebaik-baik pilihan dibuat berdasarkan faktor agama.
Bagaimanapun harus diingat, dalam hal mencari jodoh, bukan lelaki sahaja berhak untuk memilih, wanita juga boleh memilih pasangannya.
Ini jelas dalam hadis Rasullulah SAW; “Apabila datang kepada kamu peminang yang engkau puas hati dengan agama dan kelakuannya, maka kahwinkanlah dia. Jika tidak kamu lakukan, akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan berpanjangan.” (HR Tirmizi).