JDT berpesta tol, belasah Penang FC 8-0

JDT berpesta gol, belasah Penang FC 8-0

PENYERANG JDT, Bergson Da Silva menanduk bola untuk jaringan kedua pada perlawanan Liga Super menentang Penang FC di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, Johor, hari ini. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) berpesta gol membenam Penang FC 8-0 sekali gus melengkapkan malam gemilang buat yang sah bergelar juara Liga Super musim ini, melengkapkan kejuaraan quadruple dua musim berturut-turut.

Keputusan itu juga membolehkan skuad Harimau Selatan melakar sejarah menamatkan saingan liga tanpa kalah dengan meledak 100 gol dalam 26 perlawanan, hanya mencatatkan satu keputusan seri menentang Kedah Darul Aman FC dan menang kesemua baki perlawanan.

Beraksi di hadapan 33,169 penonton di Stadium Sultan Ibrahim, pasukan tuan rumah tampak menguasai permainan dengan tidak membenarkan pasukan lawan melakukan percubaan ke arah gawang yang dikawal Farizal Marlias.

Pasukan kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli tampak terlalu menghormati lawan setelah pasukan JDT berleluasa melakukan serangan dan melakukan tiga percubaan berbahaya dalam tempoh 10 minit.

Gawang Penang FC bolos seawal minit kelima hasil jaringan Arif Aiman Hanapi yang menghukum kesilapan lawan setelah berjaya mengutip bola di kotak penalti sebelum melepaskan rembatan lerek ke penjuru kiri gol menewaskan penjaga gol, Shafiq Afifi Suhaimi.

Pada minit ke-17, giliran Bergson Da Silva meletakkan namanya dalam senarai penjaring apabila membuat tandukan padu memanfaatkan hantaran lintang Juan Muniz untuk meletakkan JDT selesa di hadapan.

Skuad bimbingan Esteban Solari yang dalam mood ‘celebration’ semakin ganas memburu gol hampir menambah jaringan menerusi rembatan kencang Heberty Fernandes dari luar kotak penalti namun Shafiq Afifi berada di posisi tepat menafikan percubaan itu pada minit ke-23.

Pengadil perlawanan, Khirulazuan Kidam menghadiahkan sepakan penalti kepada JDT apabila Fernandes dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pemain pertahanan Penang, Aikmal Roslan.

Bergson yang menggalas tanggungjawab mengambil sepakan penalti itu mudah menyempurnakan tugas itu mengatasi Shafiq Afifi bagi meledak gol ke-21 dalam saingan Liga Super pada minit ke-33.

Sebelum tamat babak pertama, JDT terus mengganas apabila menambah dua gol pada minit ke-42 dan ke-43 hasil jaringan Akhyar Rashid dan Fernandes untuk selesa di hadapan dengan jaringan 5-0.

JDT tidak menunggu lama untuk membuka jaringan pada babak kedua setelah Arif Aiman meledakkan gol kedua peribadinya menerusi gerakan satu dua bersama Bergson sebelum melepasi rembatan lencong ke penjuru kanan gawang melepasi jangkauan penjaga gol pada minit ke-47.

Pada minit ke-50, Shafiq Afifi bertindak cemerlang apabila tangkas melayangkan badan menepis rembatan Juan Muniz daripada kedudukan sepakan percuma.

Pemain paling berharga (MVP) dua musim berturut-turut melengkapkan hatriknya pada minit ke-52 setelah sepakannya terbias hadangan Aikmal lalu menerjah gawang skuad Harimau Kumbang.

Fernando Forestieri yang dimasukkan pada babak kedua hampir mencipta jaringan menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti namun berjaya ditolak keluar penjaga gol pasukan pelawat.

Hasrat skuad Harimau Selatan memburu gol ke-100 Liga Super tercapai setelah mereka dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan Shafi Azswad Sapari.

Airf Aiman dengan bersahaja menyudahkan sepakan penalti itu sekali gus melengkapkan kemenangan bergaya JDT yang dinobatkan juara Liga Super pada malam ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya