Jawatankuasa bebas pantau dakwaan salah laku UiTM

Jawatan kuasa bebas pantau dakwaan salah laku UiTM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah jawatan kuasa bebas dikenali Bumiputera Bertindak yang terdiri dalam kalangan bekas pemimpin dan alumni Universiti Teknologi Mara (UiTM) dibentuk untuk menangani beberapa dakwaan salah laku, pelanggaran tadbir urus korporat dan pembaziran universiti awam itu yang menjadi buah mulut masyarakat.

Antaranya isu kerugian UiTM Holdings dan beberapa perlakuan pelanggaran dan kelemahan tatakelola yang mencurigakan seperti yang terkandung dalam Laporan Ketua Audit Negara, baru-baru ini.

Bumiputera Bertindak dalam satu kenyataan memaklumkan, jawatan kuasa itu berfungsi sebagai pemantau dan pemberi maklumat bagi memastikan institusi menara gading bersih itu berada pada tahap berintegriti, telus dan dihormati oleh semua warga dan pemegang taruhnya.

Kata kenyataan itu, jawatan kuasa pada peringkat permulaan awal akan digerakkan oleh bekas-bekas pemimpin pelajar dan alumni universiti itu.

“Jawatankuasa Bumiputera Bertindak mahu memastikan kes-kes yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak lagi diletak di bawah status tiada tindakan lanjut atau NFA.

“Jika ini berlaku, ia memberi gambaran bahawa ada campur tangan pihak-pihak tertentu bagi memastikan kes-kes itu tidak dilanjutkan. Jawatan kuasa ini mendapati tindakan itu telah menyebabkan berlakunya kehakisan kepercayaan terhadap integriti institusi tersebut,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu, buat permulaan jawatan kuasa Bumiputera Bertindak terdiri lapan individu antaranya bekas Ahli Lembaga Pengarah UiTM, Datuk Dr. Ibrahim Ali; bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed; bekas Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah dan bekas Presiden Alumni UiTM, Datuk Mohd. Zaini Hassan.

Jawatan kuasa bebas itu berharap semua alumni UiTM yang dianggarkan berjumlah hampir sejuta orang dan masyarakat awam dapat memberi sokongan dalam usaha murni berkenaan. 

“Oleh itu, jawatan kuasa ini merancang mengadakan taklimat terbuka dengan alumni UiTM berhubung beberapa isu umum membabitkan UiTM, pada penghujung Januari 2024. Susulan itu juga beberapa pertemuan peringkat tertinggi dengan beberapa pihak akan diatur. 

“Jawatan kuasa mendapati, tiada masa lagi untuk kita melindungi dan menyembunyikan  sebarang salah-laku dalam soal tatakelola dan tadbir urus di dalam institusi itu atau di mana-mana institusi sekali pun,” katanya.

Dalam pada itu, Bumiputera Bertindak mahu SPRM mempercepat siasatan agar mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan dana UiTM dapat dibawa ke muka pengadilan.

Katanya, tindakan ini akan menjadi teladan dan sempadan kepada UiTM Holdings dan pegawai-pegawai UiTM khususnya agar lebih berhati-hati dalam urus niaga yang dibuat pada masa hadapan, apatah lagi mengambil kesempatan dan menyalahguna kuasa untuk kepentingan diri.

“Diharapkan ia juga akan menjadi peringatan kepada matlamat penubuhan UiTM Holdings itu sendiri, iaitu untuk menjadi  Investment Arm yang boleh membawa keuntungan kepada UiTM; dan bukannya merugikan UiTM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya