Jawatankuasa adhoc Pafa adakan kongres esok - Utusan Malaysia

Jawatankuasa adhoc Pafa adakan kongres esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Jawatankuasa adhoc yang ditubuhkan bagi menyelamatkan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), mengorak langkah dengan mengadakan Kongres tahunan (AGM) persatuan itu esok.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi jawatankuasa adhoc itu, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Jawatankuasa itu dilantik di bawah kuasa Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suan dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) pada awal Jun bagi memulihkan Pafa.

“AGM itu akan diadakan di Jabatan Belia dan Sukan Perak, esok, Khamis. Ini adalah usaha kita menyelamatkan Pafa daripada dibubarkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Abdul Puhat, 13 ahli gabungan Pafa mengesahkan kehadiran mereka pada kongres esok.

Lima iaitu Persatuan Sukan India, Persatuan Bola Sepak (PBS) Tanjong Malim, Kuala kangsar, Perak Tengah dan Bagi Gajah tidak hadir kongres itu nanti.

“Kita tidak mahu kelak berlaku tidak puas hati dan perkara berbangkit selain kita tidak mahu membuat keputusan yang tidak adil.

“Kita juga turut mendapat nasihat daripada pegawai undang-undang PJS dan kita akan buat keputusan yang terbaik,” katanya.

Sebelum ini, PAFA digantung selama enam bulan oleh PJS berikutan kemelut yang melanda badan induk bola sepak itu pada 7 Mac 2022 lalu

Ini berikutan wujud dua kumpulan yang mendakwa masing-masing sebagai jawatankuasa sah badan induk itu.

Pafa yang sebelum ini bakal dibubarkan diberi penangguhan pembatalan setelah perkara itu sampai kepada pengetahuan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Pafa telah dibatalkan namun di bawah Akta 576 Akta Pembangunan Sukan 1997, menteri mempunyai kuasa di bawah Subseksyen 21 (1) menubuhkan jawatankuasa adhoc untuk selesaikan kemelut Pafa bagi suatu tempoh tidak melebihi 12 bulan.

Jawatankuasa Adhoc turut dianggotai oleh Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak, Mazlan Mohamad; Timbalan Pengarah JBSN Perak, Munir Aliyasak; Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia (PPBSWM), Normala Abdul Rashid; bekas Naib Presiden II PAFA, Abd Aziz Yeop Jamaluddin dan bekas Setiausaha Kehormat PAFA, Tajul Hasnan Omar. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN