Jatuhkan Kerajaan Perpaduan umpama runtuhkan kerajaan sendiri

Jatuhkan Kerajaan Perpaduan umpama runtuhkan kerajaan sendiri-Armizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Menjatuhkan Kerajaan Perpaduan umpama meruntuhkan kerajaan kami sendiri,”.

Demikian kata Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Armizan Mohd. Ali mengenai komitmen pimpinan GRS dalam mempertahankan kerajaan yang ada di peringkat negeri dan Persekutuan hari ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Armizan berkata, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan adalah kerajaan yang GRS bina secara bersama.

Maka, tidak mungkin pimpinan GRS membelakangkan kesepakatan yang dibina itu demi kepentingan peribadi.

Kestabilan politik perlu terus dipertahankan bagi memastikan agenda pembangunan negara tidak terjejas dengan cubaan-cubaan menjatuhkan kerajaan.

Beliau, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup itu berkata, fokus seharusnya diberikan kepada agenda pembangunan ekonomi negara dan rakyat.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), GRS antara gabungan yang menzahirkan sokongan penuh terhadap Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Biarpun pada ketika itu, GRS dianggotai oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) namun, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah mengambil keputusan yang bertentangan dengan pimpinan Bersatu Pusat dengan menyatakan sokongan terhadap kerajaan pimpinan Anwar.

Kemudian pada 10 Disember 2022, Hajiji mengumumkan hampir seluruh pemimpin Bersatu Sabah keluar daripada parti itu dan kekal di bawah naungan GRS sebelum membentuk Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dilancarkan pada Mac lalu.

Pada masa ini, dua daripada Ahli Parlimen GRS berada dalam Kabinet Persekutuan iaitu Armizan dan Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Hari ini Utusan Malaysia melaporkan GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) konsisten menolak beberapa cubaan terdesak untuk menjatuhkan kerajaan sepanjang tempoh setahun ini.

Anwar menyifatkan dalam scenario politik semasa, peranan atau pendirian GPS dam GRS agak kritikal kerana hanya penyertaan dan dukungan parti utama dari Sabah dan Sarawak membolehkan pembentukan dan kestabilan kerajaan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN