PETALING JAYA: Penyanyi, Nadeera Zaini, 30, terkilan dengan segelintir individu yang memfitnah dan menghinanya gara-gara kontroversi yang melanda lagu Astana di Semi Final Muzik Muzik 38 (SFMM38) baru-baru ini.
Juara pertandingan Big Stage 2023 itu bagaimana pun berlapang dada menerima serangan yang diterimanya menerusi media sosial sejak minggu lalu.
“Serangan di media sosial adalah perkara biasa, justeru saya tidak berkecil hati. Tak mengapalah, mungkin mereka tidak tahu perkara sebenar.
“Peminat Ernie berhak untuk mempersoalkan kerana merekalah yang mengangkat lagu Astana ke tahap ini.
“Cuma, apabila memberi nasihat, janganlah sampai memfitnah dan menghina,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Nadeera ketika diumumkan sebagai pengganti Ernie untuk menyanyikan lagu Astana di SFMM38 menerima kecaman dari peminat penyanyi tersebut yang berang dengan keputusan itu.
Tegasnya, dia tidak berniat mengguris hati mana-mana pihak. Malah, tawaran yang diterimanya menjadi penyanyi pengganti adalah undangan daripada pihak syarikat rakaman (Rocketfuel Entertainment).
“Saya tersepit apabila isu ini menjadi besar secara tiba-tiba.
“Selebihnya kena tanya pihak Rocketfuel sendiri, sebab merekalah yang bertanggungjawab menawarkan peluang itu kepada saya,” jelasnya.
Tidak menyimpan dendam, Nadeera turut tumpang bahagia apabila lagu Astana akhirnya dinyanyikan sendiri Ernie di SFMM38.
“Saya hormat Ernie. Antara kami tidak pernah ada masalah. Bahkan Saya merupakan peminat karya seni Ernie.
“Memang saya ditawarkan untuk menjadi penyanyi ganti, tapi saya lebih gembira sekiranya penyanyi asal dapat menyanyikan lagu astana,” tambahnya.
Ernie sebelum ini tampil memberi penjelasan bahawa dia dan Nadeera tersepit dengan kontroversi lagu Astana.
Lagu berkenaan bagaimanapun tersenarai antara 12 yang berjaya ke Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38).