SUNGAI PETANI: Yayasan Orang Siam Malaysia (YOSM) berharap Ahli Dewan Negara yang bakal dipilih bagi mewakili kaum itu dapat menjadi penghubung antara rakyat dan kerajaan.
Pengerusi YOSM, Datuk Siw Chun Eam berkata, senator yang dipilih kelak perlu memainkan peranan membela nasib dan memberi perhatian kepada 60,000 masyarakat Siam yang ada di Malaysia ketika ini.
Menurutnya, pelantikan itu harus diteliti latar belakang, pengalaman dan keupayaan individu terlibat agar mampu menggalas amanah dan tanggungjawab dipikul dalam usaha mendekatkan kerajaan dengan anggota masyarakat kaum itu.
“Satu kerusi saja yang diperuntukkan kepada masyarakat Siam dan penelitian daripada pelbagai sudut perlu dibuat agar calon terpilih itu mampu melaksanakan tanggungjawabnya.
“Kita tak mahu calon tangkap muat dan hanya muncul selepas menduduki jawatan itu sedangkan tiada pengalaman kerja dan rekod membantu kaum kami selama ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Pelajar Cemerlang sempena ulang tahun ke-26 YOSM di sini, semalam.
Majlis tersebut dirasmikan Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr. Mohammed Taufiq Johari serta turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam, Bau Wong Bau Ek.
Jelas Siw Chun, antara empat teras YOSM termasuk memartabatkan bidang pendidikan, kebudayaan dan kesenian, bahasa ibunda dan aspek kebajikan.
Beliau dalam masa sama turut berbangga apabila Bau Wong yang merupakan rakyat keturunan Siam pertama dipilih sebagai wakil rakyat dan seterusnya dilantik menjadi Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
“Ini membuktikan masyarakat keturunan Siam mampu menjadi pemimpin di peringkat negeri dan seharusnya calon yang terpilih sebagai senator nanti juga boleh menjadi penghubung antara Kerajaan Pusat dan negeri pula.
“Itu sebabnya kita mahu calon terpilih menduduki kerusi senator itu terdiri daripada yang mempunyai pengalaman bekerja dan boleh membawa misi mengenengahkan masalah kaum kami kepada kerajaan untuk diatasi,” katanya.
Sementara itu, seramai 60 pelajar cemerlang keturunan Siam dari empat buah negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak menerima sumbangan wang tunai daripada YOSM.
Pelajar terbaik, Tan Shan Qi, 18, dari Alor Setar yang berjaya memperolehi 10A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 bersyukur kerana dihargai oleh YOSM.
“YOSM banyak membantu saya dan jasa Datuk Siw Chun tidak akan dilupakan. Maka, saya berazam untuk mencurahkan bakti kepada negara selepas tamat belajar kelak,” katanya yang kini melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi di Kelantan. -UTUSAN