MELAKA: Sektor agro pelancongan mampu menjana ekonomi gerakan koperasi di negeri ini terutama ketika sambutan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.
Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Melaka, Mustafa Kamal Mohd. Noor berkata, ia terbukti melalui produk Jerami Desa diusahakan Koperasi Pengkalan Batu Berhad (Kopaba) di bawah Masjid Nur Sa’adah.
Katanya, Kopaba merupakan koperasi pertama di negeri ini yang mengembangkan perkhidmatan dalam sektor agro pelancongan dan inisiatif itu disokong SKM Melaka dengan bantuan peruntukan sebanyak RM30,000.
“Melaka mempunyai 469 buah koperasi yang aktif dan 120 daripadanya terlibat dalam perkhidmatan perhotelan serta inap desa.
“Pada hari ini Kopaba mengusahakan perkhidmatan dalam bidang agro pelancongan dengan memperkenalkan Jerami Desa, jadi kita lihat ini sebagai cabang baharu untuk turut diterokai oleh koperasi lain khususnya sempena TMM 2024,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Jerami Desa, Pengkalan Batu di sini, semalam.
Sementara itu, Pengerusi Kopaba, Datuk Amzah Osman berkata, Jerami Desa dijangka mula beroperasi Januari ini dengan menawarkan lapan aktiviti utama untuk dinikmati pengunjung.
“Antaranya ialah glamping, inap desa, pakej karavan, sukan lasak ATV dalam sawah, menangkap ikan, mandi air perigi dan makan di restoran terapung sambil menikmati waktu senja.
“Kita jangkakan untuk permulaan, Jerami Desa mampu menjana pendapatan RM25,000 dan membantu mencapai sasaran pendapatan RM1.2 juta setahun meliputi semua cabang pendapatan Kopaba menjelang 2025,” katanya. – UTUSAN