GEORGE TOWN: Jambatan Pulau Pinang akan ditutup sementara sempena acara Penang Bridge International Marathon 2023, Ahad ini.
Menurut PLUS Malaysia Berhad (PLUS), jambatan Pulau Pinang akan ditutup mulai pukul 12.01 tengah malam sehingga pukul 10 pagi pada hari tersebut.
“Jambatan Pulau Pinang akan dibuka dan beroperasi seperti biasa mulai pukul 10 pagi pada hari yang sama selepas tamat acara larian tersebut,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu, PLUS menasihatkan orang ramai supaya menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muad’zam Shah (Jambatan Kedua Pulau Pinang) sebagai jalan alternatif dan mematuhi semua papan tanda serta arahan yang diberikan.
Tambahnya, pengguna lebuh raya boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Aplikasi X @PLUSTrafik, Aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI atau papan tanda elektronik (VMS) di lokasi-lokasi terpilih.
”Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.
“PLUS mengucapkan terima kasih atas perhatian dan kerjasama semua pengguna lebuh raya,” katanya. – UTUSAN