PETALING JAYA : Pusat beli-belah bukan sekadar mengisi ruang membeli-belah tetapi perlu menjadi hab komuniti yang dinamik dan melangkaui aktiviti perdagangan.
Pengerusi ENCORP Berhad, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusoff berkata, pusat belah-belah perlu menjadi pusat memupuk hubungan global, perpaduan budaya dunia dan diplomasi interaktif.
“Sebagai tempat pertemuan pelbagai golongan masyarakat tempatan dan antarabangsa, pusat beli belah perlu menjadi tempat untuk menyelami kepelbagaian budaya melalui penganjuran aktiviti yang memaparkan keindahan dan keunikan kraf, makanan, kesenian dan kesusasteraan,” kataya
Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Festival Antarabangsa Penyair, Penulis dan Pencinta Buku R A Malaysia 2023 (RAIPO) anjuran R A Arts Haven di Strand Mall, Kota Damansara di sini baru-baru iin
Mohd. Yusmadi berkata sebagai pusat beli-belah, Strand Mall mahu mengutamakan akses untuk semua pihak untuk sama-sama terlibat dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan.
“Strand Mall adalah tempat yang sesuai untuk acara ini kerana fokusnya sebagai pusat untuk Diplomasi Budaya membawa audiens yang ingin menghayati keindahan budaya dunia.
Saya percaya ekspresi seni seperti festival pembacaan puisi ini melangkaui sempadan serta meningkatkan perpaduan global di tengah-tengah kemelut dan keganasan yang melanda dunia ketika ini,” katanya.
Yang turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Damansara, Muhamad Izuan Ahmad Kasim yang melancarkan buku antologi puisi “Voices of Humanity” yang memuatkan puisi hasil karya peserta RAIPO23.
“Walaupun saya bukan ahli seni tetapi terpanggil menyokong setiap kegiatan yang diadakan di pusat beli-belah ini terutama yang dianjurkan oleh R A Arts Haven.
Saya percaya kegiatan seumpama ini akan turut menyemarakkan kegiatan ekonomi termasuk pelancongan di samping memupuk nilai murni dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Bertemakan Puisi, Keamanan dan Kemanusiaan, RAIPO23 yang berlangsung sehingga 11 Disember mulai 10.00 pagi hingga 10.00 malam, juga dihadiri oleh bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Ramli Ngah Talib.
RAIPO23 disertai oleh lebih 100 penyair dan penulis dari 15 negara termasuk lima Sasterawan Negara, Datuk Seri A. Samad Said, Prof. Dr. Muhammad Salleh, Datuk Dr. Anwar Ridhwan, Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail. –UTUSAN