PUTRAJAYA: Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang sebelum ini berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) kini dipindahkan ke Kementerian Komunikasi berkuatkuasa serta merta.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang juga jurucakap kepada Kerajaan Perpaduan berkata, lantikan Ketua Pengarah baharu J-KOM bagi menggantikan Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff juga belum dimuktamadkan.
“Saya belum sempat bertemu pihak J-KOM (bagi bincang lantikan Ketua Pengarah). Saya perlu beri masa dan ruang beri taklimat sebelum komen lanjut. Tunggu dan beri beberapa hari kepada saya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, antara agensi lain yang kekal bersama Kementerian Komunikasi ialah Pertubuhan Berita Nasional (Bernama), Jabatan Penerangan (Japen), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC), Jabatan Penyiaran (termasuk RTM).
Katanya, agensi lain termasuk Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan MyCreative Ventures Sdn Bhd.
Sementara itu, Fahmi berkata, tiga agensi lain yang sebelum ini di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan dipindahkan ke Kementerian Digital iaitu Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), MYNIC dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
Bagaimanapun, katanya, kedudukan Digital Nasional Bhd (DNB) belum diputuskan dan masih dibincangkan.- UTUSAN