PETALING JAYA: Penyanyi, Syafiq Farhain menafikan penyertaannya sebagai vokalis kumpulan Iklim yang menjadi bualan warganet selepa tular sebuah video dia menyanyi bersama kumpulan itu.
Jelas pemilik Nursyafiq Farhain AM Salim, 29, itu, kolaborasi itu hanyalah sebuah projek khas yang bakal dilancarkan tahun depan.
Apatah lagi, jelas penyanyi itu, dia tidak akan menggantikan posisi vokalis sekarang iaitu Azmani sementelah dia sibuk dengan kerjaya solo serta tanggungjawab hakiki selaku anggota bomba.
“Alamak itu cuma desas desus, sampai orang boleh salah faham. Ada yang tanya, saya sudah bergabung dengan Iklim ke. Tak mungkinlah, mereka sudah ada vokalis tetap, Azmani.
“Sebenarnya projek khas itu baru dibangkitkan beberapa bulan lalu. Setakat ini mengikut perancangan, dua lagu yang bakal dirakamkan tetapi masih dalam susunan. Insya-Allah, dapat dilancarkan tahun depan.
“Tetapi sebenarnya saya selesa bergerak solo. Selain itu, saya juga sibuk dengan tugasan sebagai anggota bomba. Ini projek khas, jadi saya terima,” katanya.
Dalam pada itu, anak keempat vokalis asal kumpulan itu iaitu Allahyarham Saleem menambahkan, dia sememangnya menunggu berkolaborasi dengan Iklim apatah lagi hasrat berduet dengan Allahyarham bapanya tidak tercapai.
“Sebelum ini memang saya pernah luahkan keinginan berduet dengan ayah tetapi tidak kesampaian. Apabila Iklim mempelawa kami buat projek khas, tidak mungkin saya tolak.
“Bila lagi kan, lagipun ini band legenda yang bersama arwah bapa saya hingga namanya menjadi sebutan dan kekal sehingga kini,”ujarnya.