KLANG: Ibarat ‘mencurah air ke daun keladi’ perhimpunan aman bantahan disertai lebih 100 penduduk Kapar berdekatan tapak pelupusan sampah haram Batu 14, di sini menerima reaksi yang mengecewakan apabila Majlis Perbandaran Klang (MPK) hanya akan mengambil tindakan pemantauan.
Reaksi tersebut disifatkan tidak memuaskan hati penduduk apabila tiada penyelesaian tuntas untuk membawa keluar dan membersihkan timbunan sisa industri di sana dinyatakan kepada mereka.
Ini kerana kebakaran akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab mencari besi buruk dan logam berharga di situ didakwa berlaku hampir setiap hari sehingga menimbulkan keresahan penduduk.
Pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Kampung Sungai Serdang, Rahim @ Rohkim Iska berkata, kehadiran wakil pihak berkuasa sepatutnya memberikan jaminan kepada lebih 300,000 penduduk sekurang-kurangnya dekat tujuh penempatan berhampiran tapak tersebut supaya kawasan pelupusan haram itu dibersihkan dan tiada lagi kebakaran berlaku.
“Kita minta exco berkenaan untuk datang pada perhimpunan hari ini, tetapi wakilnya pun tak turun untuk lihat sendiri bagaimana teruknya keadaan di sini yang sudah berlarutan lebih 10 tahun dulu.
“Kita pernah buat aduan kepada semua pihak termasuk laporan polis dan aduan kepada bomba bila berlaku kebakaran, tetapi bomba sahaja yang ambil tindakan. Aduan kepada pihak berkuasa lain tetapi macam tiada tindakan langsung.
“Pihak berkuasa tempatan (PBT) cuma menutup jalan supaya tiada pencerobohan berlaku lagi tetapi sampah tetap terbiar dan kebakaran terus berlaku. Hari ini mereka cuma beritahu akan buat pemantauan, sudah 10 tahun masih hendak pantau,” katanya ketika ditemui.
300,000 hidup gas beracun akibat kebakaran
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan timbunan sampah haram sisa industri masih belum dipindah menyebabkan lebih 300,000 penduduk di sekitar Kapar, Meru dan Jeram berdepan ancaman terhidu gas bahan kimia berbahaya.
Lebih buruk, kebakaran berlaku hampir setiap hari dipercayai dilakukan oleh individu tidak bertanggungjawab untuk mencari besi buruk di sebalik timbunannya yang terdiri daripada plastik, tembaga dan pelbagai sisa lain.
Sementara itu, seorang penduduk, Masropi Zakaria, 45, mendakwa masalah tapak pelupusan sampah haram itu menyebabkan masalah kesihatan seperti pernafasan akibat daripada kebakaran yang berlaku.
“Anak saya berusia lapan tahun dan ibu merupakan warga emas berusia 85 tahun hampir setiap hari perlu mendapatkan bantuan pernafasan (nebulizer). Mereka memang ada masalah lelah, tetapi bila dengan jerebu akibat kebakaran di situ keadaan kesihatannya makin teruk.
“Jerebu yang kerap sangat berlaku juga terlalu tebal sehingga menyebabkan jarak pandangan terhad sekitar 10 meter. Keadaan itu turut menyebabkan kemalangan terutamanya melibatkan penunggang motosikal,” luahnya.
Reaksi ahli parlimen, ADUN
Sementara itu, Ahli Parlimen Kapar Dr. Halimah Ali yang turut hadir pada perhimpunan tersebut memaklumkan isu berkenaan pernah dibangkitkan dalam Dewan Rakyat ketika perbahasan Belanjawan 2024.
“Saya bangkitkan minta reaksi dan jawapan daripada Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
“Tetapi saya cuma boleh suarakan sebab yang sepatutnya ambil tindakan adalah kerajaan, mereka ada kuasa dan sepatutnya bertindak,” tegasnya.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Noor Najhan Mohamad Salleh pada perhimpunan tersebut memaklumkan isu pelupusan sampah haram di situ dibangkitkan sebanyak dua kali pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) minggu lalu.
“Yang pertama pada sesi soal jawab lisan dan kedua ketika perbahasan Belanjawan Selangor 2024, tetapi jawapan yang diterima tidak meyakinkan bahawa akan ada tindakan diambil,” ujarnya.
Katanya lagi, beliau menggesa pindaan terhadap enakmen berkaitan pelupusan sampah dipinda supaya mengenakan hukuman berat kepada mana-mana pihak yang melupuskan sisa domestik dan industri mengikut saluran sepatutnya. – UTUSAN