BUKIT MERTAJAM: Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengadakan perbincangan khas bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung isu melibatkan pekerja asing di negara ini.
Menterinya, Steven Sim berkata, antara perkara yang akan disentuh dalam perbincangan itu ialah berkaitan dasar serta operasi pekerja asing terutama membabitkan bidang kuasa di bawah kedua-dua kementerian.
Katanya, ini termasuk cadangan beberapa pihak sebelum ini yang mahu isu berkaitan pekerja asing diletakkan di bawah satu kementerian sahaja.
Steven pada masa sama turut meminta diberikan lebih masa untuk meninjau serta meneliti peranan yang dimainkan oleh jabatan serta badan berkanun di bawah KSM sebelum membuat pengumuman berkaitan perkara itu dari semasa ke semasa.
“Kita akan cuba buat secepat mungkin (perbincangan bersama KDN) selepas kita dapat tarikh (yang sesuai).
“Buat masa ini, bagi sedikit masa kepada saya termasuk untuk meninjau kementerian saya terlebih dahulu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Bukit Mertajam di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, pihaknya telah memperuntukkan sebanyak RM230,000 untuk menyiapkan tiga buah projek di Hospital Bukit Mertajam bermula Oktober lalu.
Katanya, ini termasuk projek menaik taraf sistem penyaman udara dan elektrik, menbekalkan peralatan di zon menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital itu serta memasang kipas di zon sama.
Menurut beliau, projek pertama melibatkan pemasangan 18 buah penyaman udara di enam lokasi iaitu di Jabatan Psikiatri, Jabatan Patologi, Klinik Pergigian, Wad 5 Pembedahan; Jabatan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) serta Unit Cara Kerja di hospital berkenaan dengan nilai peruntukan sebanyak RM195,835.
“Projek kedua pula melibatkan pembekalan peralatan di Zon Menunggu di Jabatan Kecemasan dan Trauma bernilai RM29,089 manakala projek ketiga adalah pemasangan enam buah kipas di zon yang sama bernilai RM2,130,” ujarnya.
Tambah beliau, semua kemudahan itu dijangka mampu dimanfaatkan oleh kira-kira 800 pesakit dan kakitangan hospital tersebut setiap hari. – UTUSAN