Isu Al-Kahfi: Tidak wajar sesatkan pihak berbeza pandangan - Yadim

Isu Al-Kahfi: Tidak wajar sesatkan pihak berbeza pandangan – Yadim

YADIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) memandang serius kenyataan seorang pendakwah dalam ceramahnya yang mendakwa kenyataan seorang pemimpin yang dipercayai merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai sesat apabila merujuk kepada Ashabul Kahfi (pemuda-pemuda gua) sebagai beragama Kristian.

Yadim berkata, adalah amat tidak wajar sikap terus menghentam dan menyesatkan mereka yang berbeza pendapat dan pandangan dalam isu-isu khilafiah agama kerana sikap tersebut akan membantutkan perkembangan ilmu dan daya penyelidikan.

Lebih membimbangkan, katanya, sikap itu akan menyebabkan pergaduhan dan tuduh menuduh sesama umat Islam yang tidak berkesudahan.

“Pemuda-pemuda Kahfi ini adalah sekumpulan pemuda yang mempertahankan akidah suci berhadapan dengan pemerintah yang zalim dan memaksa mereka menganut fahaman syirik.

“Walaupun mereka akan dikenakan tindakan yang keras daripada pemerintah, mereka berani berhadapan kerana keteguhan prinsip mereka,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Yadim, jika Perdana Menteri menyebut Ashabul Kahfi sebagai beragama Kristian, pihaknya percaya yang dirujuk oleh beliau itu bukanlah agama Kristian pada ketika ini.

Sebaliknya, katanya, ia merujuk kepada golongan Nasara yang mentauhidkan Allah SWT sebagaimana ajaran Nabi Isa AS dan selari dengan risalah Nabi Muhammad SAW.

Merujuk kepada pandangan ilmuan berautoriti tentang perkara ini, Dr. Solah Abd Al-Fattah Al-Khalidi, dalam Al-Qasas Al-Qur`ani menyebut, ajaran An-Nasraniyyah pada awalnya adalah mentauhidkan Allah SWT, tiada anak dan pasangan, mengimani Nabi Isa AS sebagai seorang rasul.

“Setelah beberapa ketika, berlaku perubahan cara anutan Nasrani dari tauhid kepada triniti. Ashab Al-Kahfi adalah kelompok Nasara versi Tauhid.

“Ibn Abbas RA seperti dinukilkan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya, membahagikan Nasara kepada kepada tiga kategori iaitu Nasara Ya`qubiah (Jacobite); Nasara Nasturiyyah (Nestorianism) dan Nasara Muslim (Muwahhid),” katanya.

Yadim berkata, daripada ulasan ringkas tentang status Ashbaul Kahfi ini dapat disimpulkan bahawa kedudukan mereka dikaji oleh ulama dan ilmuan Islam demi menggali khazanah al-Quran tanpa kecenderungan merendah-rendah atau menyesatkan golongan yang berbeza pandangan.

Yadim amat bimbang kecenderungan agresif, fanatik dan melampau segolongan asatizah ketika mengulas sesuatu isu hanya akan memecah belah umat Islam dan mencetuskan fenomena takfiri sesama umat Islam.

“Ini amat berbeza dengan gesaan Perdana Menteri dalam perhimpunan bulanan peringkat Jabatan Perdana (JPM) pada 11 Disember lalu supaya penjawat awam (khasnya) mengambil pengajaran dan mengikuti sikap Ashabul Kahfi.

“Mereka mempunyai prinsip yang kental, dengan keyakinan yang ada dalam jiwa mereka, Allah SWT akan menambah petunjuk untuk mereka. Ini kerana mereka memilih untuk tidak terpukau dengan kuasa, kezaliman dan penindasan dan sebaliknya memohon perlindungan daripada Allah SWT. Lalu Allah SWT selamatkan mereka,” katanya.

Pada masa sama, Yadim menyeru semua pihak agar mengelak daripada mempolitikkan semua perkara khasnya dalam perkara bersangkut agama Islam.

Sebagai pendakwah yang sudah tentu mempunyai pengaruh dan pengikut, katanya, maka wajiblah menyampaikan dan menjawab sesuatu persoalan dengan berhati-hati dan penuh tanggungjawab.

“Pendakwah juga tidak terlepas daripada tanggungjawab untuk memeriksa dengan teliti atau tabayyun sebelum menjawab dan mengulas sesuatu perkara.

“Yadim juga menyeru agar para pendakwah dan asatizah tidak mudah untuk menggunakan dan mengeluarkan sesuatu gelaran sesat, munafik, kafir dan sebagainya apabila merujuk kepada seseorang figura yang tidak sependapat atau sehaluan dalam politik atau perkara-perkara khilaf dalam agama.

“Mengambil pandangan dan pendapat yang mu’tabar (berautoriti) adalah lebih baik daripada berpandukan kepada pandangan individu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya