PETALING JAYA: Terdapat segelintir dalam kalangan umat Islam masih tidak memahami konsep istito’ah atau kemampuan mengerjakan ibadah haji yang mempunyai pengertian luas bagi melaksanakan salah satu Rukun Kelima Islam itu.
Hal ini kerana mereka masih melihat istito’ah kepada ungkapan ‘apabila sampai seru’ pada setiap kali musim haji sedangkan ia mempunyai pengertian meluas yang merujuk kepada kemampuan mengerjakan haji dari segi kewangan, bekalan, kenderaan dan perjalanan yang aman.
Imam al-Nawawi pernah menyatakan terdapat lima syarat bagi merealisasikan kewajipan haji Islam yang hanya perlu dilakukan sekali dalam seumur hidup. Ia merangkumi syarat Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan.
Berkemampuan pula merangkumi lima perkara iaitu kenderaan bagi perjalanan melebihi dua marhalah (kira-kira 90 kilometer), bekalan, perjalanan selamat, kesihatan tubuh badan dan mempunyai masa mencukupi untuk melakukan perjalanan haji.
Kurangnya fahaman itu menyebabkan amalan menyimpan wang sebagai persediaan menunaikan ibadah haji masih kecil dalam kalangan umat Islam khususnya belia yang masih menganggap Rukun Islam itu hanya untuk warga emas dan golongan sudah bersara serta menyifatkan tiada keperluan bagi mereka berbuat demikian.
Secara umum, semuanya menuntut komitmen kewangan tinggi dan mana-mana umat Islam perlu melakukan persiapan daripada simpanan dan tabungan bermula usia muda sehingga tiba masa menerima panggilan kuota haji.
Menurut tokoh agama, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, istito’ah membawa kepada pengertian bekalan mencukupi baginya menuju ke tanah suci sehingga pulang di samping ada bekalan yang mencukupi bagi keluarga di bawah tanggungannya di tanah air.
Katanya, kewangan merupakan antara konsep istito’ah di samping kemampuan dari segi bekalan, kenderaan dan perjalanan yang aman.
Zulkifli berkata, istito’ah untuk menunaikan haji turut merujuk kepada beberapa faktor yang penting iaitu termasuk mahram, kesihatan, kuota atau kebenaran haji daripada kerajaan Arab Saudi dan keselamatan.
“Inisiatif daripada Lembaga Tabung Haji amat jelas apabila adanya pihak tertentu yang sama-sama membantu sebagai satu keluarga besar haji.
“Kita anggap mahram adalah penting bahkan wajib, tetapi bentuknya yang pertama adalah mahram seperti adik-beradik, bapa begitu juga suaminya. Sekiranya tidak ada, wanita thiqah sebagaimana dinaskan dalam Mazhab Syafie diperlukan,” katanya.
Beliau berkata kuota atau kebenaran mengerjakan haji dikeluarkan Kerajaan Arab Saudi juga termasuk dalam istito’ah bagi menghormati polisi sesebuah negara kerana asas dipegang dan dilaksanakan mereka.
“Sekali pun kita bertubuh sihat, duit mencukupi bahkan melebihi serta memenuhi semua syarat, seseorang jemaah itu tidak dianggap istito’ah, bahkan perlu menunggu hingga giliran sampai barulah dikira istito’ah,” katanya.
Justeru katanya, meraikan dan mematuhi isu mengenai kuota haji atau kebenaran haji yang dipanggil tashrih atau kebenaran melaksanakan ibadat haji adalah perkara yang juga termasuk dalam istito’ah haji.
Penjelasan itu bermaksud tugas Tabung Haji bukan hanya merupakan sebuah institusi Islam yang sentiasa berusaha menyediakan pelbagai kemudahan secara komprehensif dan sistematik demi kebajikan jemaah haji, namun membabitkan pengurusan simpanan yang halal dan pengurusan haji yang efisien termasuk memberi nilai tambah kepada para pendeposit.
Memandangkan kos haji kini mencecah RM30,850, namun bakal jemaah haji perlu melakukan simpanan kewangan untuk membiayai bayaran haji yang berbeza mengikut kategori kumpulan iaitu T20 (RM30,850), M40 (RM15,980) dan B40 (RM10,980) secara tidak langsung memperlihatkan tabungan perlu bermula sejak awal sebagai persediaan khususnya dalam kalangan belia.
Sementara itu, bagi graduan universiti, Nusyahidah Saidi, 24, dia melakukan simpanan haji sejak usia remaja lagi kerana menyedari kepentingannya untuk menunaikan ibadah haji dan berjaya mendidiknya untuk menabung secara konsisten pada setiap bulan.
Katanya, malah dia juga memperoleh faedah dividen pada setiap tahun daripada hasil tabungan itu.
“Sebagai tabungan masa hadapan, terutamanya mereka yang beragama islam untuk menunaikan ibadah haji dan simpanan ini juga mengajar saya untuk berjimat-cermat apabila duit lebihan di deposit ke simpanan TH.
“Apatah lagi zaman kian mencabar ini, menuntut kita melakukan simpanan dengan harapan ia dapat digunakan ketika tiba masanya pada masa akan datang,” katanya.
Justeru itu dia menggalakkan belia melakukan tabungan TH kerana mempunyai pelbagai faedah termasuk melakukan pendaftaran haji sejak usia muda.
“Jika usia muda tidak mendaftar, giliran kita melakukan ibadah haji akan makin lama dan panjang,” ujarnya.
Seorang lagi belia, Nur Sabrina Rozi, 23, sikap menabung termasuk dalam Tabung Haji perlu digalakkan sejak peringkat belia dan remaja demi kepentingan mereka pada masa akan datang.
Katanya, simpanan itu bukan sahaja dapat dimanfaatkan untuk menampung kos haji tetapi sebagai simpanan kecemasan pada masa tua.
“Wajar untuk generasi muda melakukan tabungan haji dan mendaftar haji awal sebab nak tunggu giliran panggilan haji sangat lama.
“Justeru ibu bapa kena galakkan anak-anak buat tabungan demi kepentingan masa depan mereka kelak.
“Mungkin pihak kerajaan boleh memainkan peranan memberi kesedaran dengan melakukan sebarang usahasama bagi meningkatkan golongan belia menggunakan tabungan haji sebagai salah satu cara menabung bagi masa hadapan,” katanya. – UTUSAN